BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, August 27, 2009

...Ibu bapa berdosa izin anak berdating...

SOALAN
BERDUA-DUAAN antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah haram. Apakah pula hukumnya ibu bapa yang mengizinkan anak perempuan mereka keluar dengan teman lelaki sama ada berjalan-jalan atau menonton wayang?

JAWAPAN
Keluar rumah bersama lelaki yang bukan mahram adalah ditegah dan hukumnya haram. Apatah lagi menonton wayang bersama teman lelaki juga adalah haram.

Perbuatan ibu bapa yang mengizin anak perempuan mereka keluar rumah bersama lelaki yang bukan mahram juga haram. Dalam hal ini kesemua yang terlibat berdosa. Lebih-lebih lagi ibu bapa yang merestui anak perempuannya melanggar perintah Allah s.w.t.

Ibu bapa sepatutnya menjadi contoh dan bertanggungjawab mendidik anak-anak mereka yang diamanahkan kepada mereka. Ibu bapa yang mengkhianati amanah ini pasti akan mendapat balasan seksa dua kali ganda kerana mereka merestui malahan menghalalkan apa yang telah jelas haram di sisi Islam.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka…. (al-Thagabun: 14).

Dalam ayat lain, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). (al-Isra’: 32).

Ibn Kathir berpendapat maksud zina di sini ialah: “Apa sahaja jalan yang membawa kepada maksiat”. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, jld:3, hlm: 55).

Dalam surah al-Thagabun Allah s.w.t. menjelaskan bahawa anak-anak itu dikurniakan kepada manusia kemudian diuji dengannya. Kadangkala anak-anak ini menjadi penawar hati kadang- kadang menjadi musuh kepada kedua- dua ibu bapanya.

Anak-anak lahir ke atas bumi ini dalam keadaan suci dan bersih seperti mana hadis Rasulullah s.a.w. menjelaskan yang bermaksud: Setiap anak Adam itu lahir ke atas bumi ini dalam keadaan fitrah (suci jiwanya ), maka ibu bapa yang menjadikan dia Nasrani, Majusi atau Yahudi… (riwayat Bukhari no. 1385).

Kesimpulannya, ibu bapa yang mencorakkan anak-anak itu menjadi seorang yang baik atau menjadi seorang derhaka kepada Pencipta dan kedua-dua ibu bapa.

Masyarakat perlu faham kadang-kadang perbuatan mereka mengundang musibah yang lebih besar. Apabila seorang lelaki mendampingi seorang wanita yang bukan mahram makhluk yang ketiga yang bersama mereka ialah syaitan.

Tugas syaitan yang dimaklumi ialah sentiasa membisikkan kejahatan dan kemungkaran dalam telinga anak Adam. Berdua-duaan antara lelaki dan perempuan adalah seperti kapas yang berhampiran dengan api, bila-bila masa boleh terbakar. Akhirnya, si anak perempuan terdedah kepada zina. Mungkin juga membawa pulang perut yang berisi anak luar nikah sebagai ‘hadiah’ yang paling istimewa kepada kedua ibu bapanya yang merestui perbuatan anaknya. Ketika itu, ‘nasi sudah menjadi bubur, arang sudah disapu ke muka.’ Yang paling berharga bagi manusia juga sudah tercemar iaitu maruah keluarga.

Justeru, Islam meletakkan kaedah ‘menghalang daripada berlakunya sesuatu yang tidak baik adalah lebih baik daripada merawat’. Ingatlah sesungguhnya menjaga dan membesarkan anak perempuan adalah lebih besar tanggungjawabnya kerana menjaga mereka seperti menggenggam bara api.

Nabi s.a.w. menjanjikan syurga bagi ibu bapa yang mempunyai dua orang nak perempuan atau lebih dengan balasan syurga. Balasan itu bersyarat. Syaratnya mesti mendidik mereka dengan agama, ajarkan mereka akhlak yang mulia, apabila mereka dewasa, kahwinkan mereka dengan lelaki yang soleh.

...Pandangan Syeikh Abdul Ghafur bin Abbazs Al-Maduri mengenai zina...

Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura memulai perkara ini dengan katanya, “Ketahui olehmu bahawasanya zina itu, iaitu dosa besar, tiada di bawah kufur dan menyekutui Allah s.w.t daripada dosa yang terlebih besar daripada zina. Hingga direjam yang berbuat dia ...”. Dalam fasal mengenai ini sekali gus serba ringkas disentuh juga tentang ancaman memakan harta riba dan zalim tidak menjalankan hukum menurut yang sebenar, diperintah oleh Allah s.w.t.

...Statistik Anak Luar Nikah (zina ) di Malaysia 2000-2007...

downloadhh

Mengikut pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara dari tahun 2000-2007, ada sebanyak 257,411 sijil kelahiran yang didaftarkan tanpa dicatatkan nama bapa. Ia dikeluarkan sedemikian rupa sebab anak-anak berkenaan tidak mempunyai sah taraf atau anak luar nikah.

Ia juga telah disahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika menjawab soalan lisan R. Sivarasa (PKR Subang) semasa sesi soal jawab Dewan Rakyat pada 29hb Oktober 2008 untuk mengesahkan perkara ini. Kata beliau, selaras dengan peruntukan Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 atau Akta 229, yang tidak membenarkan pendaftar mencatat nama bapa pada sijil kelahiran bagi anak-anak tidak sah taraf atau luar nikah kecuali atas permintaan bersama ibu dan orang yang mengaku dirinya sebagai bapa.

Bagi saya angka yang melebihi 200 ribu dalam masa tujuh tahun yang singkat itu adalah cukup banyak. Itu tidak termasuk dengan anak luar nikah yang dibenarkan didaftar di bawah nama orang yang mengaku ayah atas dasar persetujuan bersama. Mungkin ada langkag-langkah pencegahan yang boleh saya cadangkan?

A. Langkah-langkah menjauhi kelahiran anak luar nikah:

  1. Jangan buat seks luar nikah dan seks bebas, jadi tak adalah peluang nak buat anak kan?

  2. Kalau gatal sangat nak buat, belajar pendidikan seks untuk melakukannya dengan selamat.

B. Bagaimana cara nak elakkan seks bebas dan seks luar nikah?

  1. Bernikah. Nanti dapatlah anak dalam nikah. Betul tak?

  2. Tak payah jumpa or keluar bersosial dengan bukan muhrim terlalu banyak. Jadi pendedahan dengan orang asing akan berkurangan.

  3. Masih boleh terdedah dengan dunia luar jika pandai mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah seperti menulis blog, membaca dan memancing. Bukan merempit atau berdisko.

  4. Ibu bapa perlu beri perhatian dan kasih sayang pada anak-anak sebab anak yang kekurangan kasih sayang akan menagih kasih sayang yang melampau-lampau dari orang asing. Pegang dan sentuh anak di hati, insyaallah di mana saja dia berada, kasih sayang ibu bapa akan dikenangi.

  5. Pilihlah kawan yang baik-baik, pergaulan yang sihat, persekitaran yang ‘bersih’ dan terkawal. Ni kalau semua kawan terlalu bebas dan bermasalah, lama-lama iman yang kuat pun boleh terhakis. Environment sangat penting!!

C. Bagaimana kalau dikecam untuk berpisah jika jarang bertemu kekasih?

  1. Berpisahlah dan cari pasangan yang baik, yang kurang gatal, yang setia, dan paling penting tidak membuatkan kita lalai dengan tanggungjawab kita. Carilah pasangan yang berkemampuan untuk menghubungi anda di telefon, sms, mms, 3G dan apa saja method lain sekiranya tidak bertemu. Jikalau tidak, dia sekurang-kurangnya mampu merancang pertemuan yang penuh tatasusila dan berhemah.

Ini akan membawa kepada beberapa kesan:

  1. Apabila dia seorang yang baik dan memahami, dia boleh menerima dengan redha (tanpa buat perangai) apabila anda tidak mahu selalu bertemu dengannya selagi belum menjadi pasangan yang sah. Ini baik untuk jangka masa panjang!

  2. Meningkatkan kreativiti anda kerana dapat merancang pertemuan-pertemuan yang lebih bertatasusila daripada sekadar bertemu di atas katil, belakang tangga atau dalam kereta.

  3. Dia akan cepat-cepat nak jadikan anda pasangannya yang sah sebab dia tahu anda seorang insan yang baik dan beriman yang masih setia walaupun pasangan jauh dari mata dan pada masa sama tak tahan lagi menanggung rindu. Kalaulah masa bercinta hari-hari dia dah ‘dapat’, dia tak heran pun nak jadikan anda pasangan yang sah. Iyalah, tak jadi laki bini pun dah rasa, hurm.baik tak payah kahwin.

D. Anda tak boleh buat jugak sebab pasangan tidak macam itu dan anda sendiri bosan jika kurang bertemu?

  1. Carilah yang baik seumpama itu, if not tak payah bercinta Lagipun, tak berbaloi pun untuk kamu teruskan dengan pasangan yang sedia ada sebab asyik-asyik nak jumpa atas katil je. Perangai di luar katil kamu langsung tak tahu. Macam mana nak buat laki or bini?

  2. Tambah pengetahuan dan tingkatkan kematangan dalam ilmu bercinta, ilmu kekeluargaan dan ilmu agama, barulah anda dapat mengubah status hubungan daripada “teman tidur” kepada “teman hidup”

  3. Ubahlah diri sendiri dulu sebelum hendak mengubah pasangan. Lelaki yang baik untuk perempuan baik, dan begitulah sebaliknya.

Kesimpulannya, hanya anda mampu mengubahnya!! Ini sekadar my suggestion, anda boleh fikirkan cara lain yang memadai dengan cara anda!!

...Dosa liwat lebih besar daripada zina...


``HUKUM perbuatan jenayah liwat lebih besar dosanya di sisi Allah s.w.t daripada perbuatan jenayah zina,'' demikian Pegawai Pendidikan, Jabatan Bahasa Al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa, Ustaz Wan Shohor Bani Leman.

Dari segi pelaksanaan hukuman syarak, menurutnya, ia adalah sama seperti mereka yang telah melakukan perbuatan jenayah zina.

``Bagi mereka yang telah berkahwin akan direjam sampai mati.

``Manakala mereka yang masih bujang dikenakan 100 kali sebatan dan dibuang negeri selama setahun ataupun boleh juga digantikan dengan 100 sebatan dan penjara setahun,'' katanya.

Ini berdasarkan kepada apa yang pernah dilaksanakan sendiri oleh Rasulullah s.a.w ketika menjatuhkan hukuman ke atas seorang lelaki bujang berzina, disebat 100 kali dan dihalau selama setahun dari negerinya.

Menurut beliau, walaupun tidak disebut dengan jelas tentang hukuman jenayah liwat di dalam al-quran, tetapi hukuman bagi perbuatan jenayah itu tetap dijalankan sebagaimana hukuman yang dikenakan kepada penzina mengikut pandangan mazhab syafie.

Wan Shohor Bani menarik perhatian, liwat bukanlah satu perkara baru, malah kegiatan itu telah wujud sejak zaman Nabi Luth a.s lagi.

Masyarakat pada zaman itu tambahnya, telah mengiktiraf perbuatan tersebut sebagai satu budaya hidup mereka biarpun mereka sendiri sebenarnya amat memahami dan mengetahui bahawa ia (liwat) dianggap kotor dan menjijikkan.

``Sebab itulah Allah s.w.t telah menjatuhkan hukuman yang amat dahsyat sekali ke atas mereka,'' katanya.

Beliau menegaskan, kejadian seumpama itu berlaku disebabkan kurangnya iman di dada dan kegagalan mengawal hawa nafsu yang terhasil daripada sikap umat Islam kita sekarang ini yang kurang membaca dan memahami isi kandungan al-quran.

``Sebagai manusia yang berakal kita sepatutnya dapat membezakan antara yang baik dan buruk sekalipun mungkin tidak yang halal dan yang haram mengikut hukum syarak,'' ujarnya.

Ini kerana jika diperhatikan dalam alam haiwan (makhluk Allah s.w.t yang tidak mempunyai akal seperti manusia), tidak berlaku perbuatan yang jantan mendatangi yang jantan mahupun yang betina mendatangi jenis yang sama.

Mengulas kejadian yang berlaku, di mana kalangan kanak-kanak menjadi mangsa perbuatan tersebut, beliau berkata, ia adalah sesuatu yang amat zalim, keji dan tidak berperikemanusiaan.

Malah katanya, perbuatan tersebut tidak hanya merosakkan fizikal tetapi juga mental sekali gus memusnahkan masa depan mangsa.

Beliau turut mengakui cabaran yang terpaksa dihadapi oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak lelaki adalah sama sebagaimana mendidik anak-anak perempuan.

``Bahkan dengan kebebasan yang tak bersempadan kadangkala menjaga dan menguruskan anak lelaki jauh lebih susah berbanding dengan anak perempuan,'' tegasnya.

Ini kerana kata Wan Shohor Bani, jika anak perempuan itu tidak terdidik mereka mungkin akan menjadi mangsa keadaan.

``Sebaliknya jika anak lelaki tidak terdidik, dia bukan sahaja terdedah menjadi mangsa bahkan lebih jauh daripada itu, dia boleh bertindak ganas menjadi pemangsa yang tidak mengira batas-batas agama dan nilai-nilai murni peradaban manusia,'' katanya.

Inilah punca katanya, anak-anak lelaki pada hari ini tidak terlepas daripada menghadapi bahaya dan ancaman berbentuk seksual seperti liwat.

Dalam Islam sendiripun kata Wan Shohor Bani, telah menjelaskan mengenai batas-batas pergaulan anak-anak sama ada anak perempuan dan lelaki begitu juga sesama anak lelaki.

``Berdasarkan sunnah, apabila usia anak memasuki 10 tahun, kamu kena pisahkan tempat tidur anak lelaki dan anak perempuan, bahkan antara anak lelaki dengan anak lelaki yang lain berkongsi dalam satu selimut juga tidak dibenarkan,'' katanya.

Beliau menambah ibu bapa perlu memberi pendidikan secara asas kepada anak-anak mengenai hukum-hakam serta halal haramnya sesuatu perbuatan itu.

Katanya, ibu bapa perlu menerangkan kepada anak-anak tentang pendidikan seks agar mereka boleh mengetahui batas sempadan yang sepatutnya.

Ini tidak hanya termasuk hubungan berlainan jenis dengan suami atau isteri tetapi juga hubungan sesama jenis.

``Ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab mendidik anak-anak dengan bijak bagi memastikan mereka tidak terjerumus ke lembah yang boleh merosakkan diri, keluarga, agama, bangsa dan negara,'' katanya.

Tambah beliau, kejadian seumpama yang berlaku membayangkan kepincangan kehidupan sesebuah masyarakat lebih-lebih lagi bagi mereka yang terlibat.

...Homoseks sama seperti zina...

Bersama:KAMIL MAJID
SOALAN: Apakah hukum lesbian dan gay, kerana ia semakin menjadi di kalangan anak-anak muda Melayu Muslim di Malaysia. Bolehkah diberikan penjelasan? Di samping itu minuman arak juga banyak berlaku di kalangan anak muda Melayu. Apa pendapat tuan?


JAWAPAN: Saya cukup terkejut dengan soalan ini. Kenapa kejadian seperti ini menjadi-jadi? Sedangkan Malaysia salah sebuah negara yang menjadikan mata pelajaran Agama sebagai wajib di sekolah rendah hingga ke sekolah menengah? Beribu guru agama dilantik setiap tahun. Setahu saya sukatan pelajaran agama juga cukup tinggi.

Apa pun, persoalan ini pertamanya harus dipertanyakan kepada setiap ibu bapa, sejauh manakah mereka bertanggungjawab dalam mendidik anak-anak remaja mereka? Atau mereka hanya melepas tangan atas alasan tanggungjawab telah diberikan kepada guru-guru khususnya guru agama di sekolah-sekolah.

Adalah menjadi kesalahan kepada para ibu bapa yang tidak memberikan pendidikan yang mencukupi kepada anak-anak, oleh sebab tugas ini adalah tugas asasi mereka. Mereka bukan sahaja wajib memberikan makan minum dan tempat tinggal, malah memberikan didikan sempurna.

Adapun guru adalah memberikan bantuan bagi membimbing pendidikan yang lebih cemerlang. Allah s.w.t. pernah mengingatkan ibu bapa agar menjaga anak- anak mereka daripada tercebur ke dalam api neraka.

Tugas guru menjadi pembimbing tambahan tidak juga penting. Meskipun tugas mengajar itu hukumnya fardu kifayah, tetapi apabila mereka memilih kerjaya itu sudah menjadi fardu ain ke atas diri mereka.

Akan dipersoalkan nanti, apakah mereka benar-benar ikhlas mendidik anak bangsa atau hanya sekadar makan gaji sahaja? Justeru itu dalam bidang pendidikan memerlukan semua peringkat ikhlas, bukan hanya sekadar mengejar kelulusan tinggi peratus murid dan setakat menghabiskan kurikulum sahaja. Lebih penting menjamin anak-anak didik melaksanakan apa yang dipelajari.

Pengetua, pengurus dan PIBG semua bertanggungjawab hinggakan kepada menteri yang dipertanggungjawab.

Akhlak buruk seperti lesbian (hubungan sejenis sesama perempuan) dan gay (hubungan sesama sejenis lelaki) hukumnya sama dengan hukum zina juga.

Menerima

Saya banyak menerima pertanyaan seperti soalan di atas, terutama selepas artikel dalam ruangan ini berjudul: Kahwin Selepas Zina. Pada kesimpulannya, saya membuat andaian, masyarakat kita hari ini begitu ramai terjebak dengan maksiat zina, rogol, penderaan di rumah, suami makan luar, isteri simpan lelaki dan pelbagai lagi.

Ini semua menggambarkan iman yang sudah hampir malah memang hancur. Akhlak yang runtuh. Apalagi perbuatan minum minuman keras yang sudah menjadi trend baru selepas agak lama tidak kedengaran.

Pada saya selain ibu bapa yang harus mengambil berat hal anak-anak, pihak pembuat polisi dan menteri-menteri yang dilantik dalam beberapa kementerian termasuk pelajaran, belia, wanita dan lain-lain seharus melihatnya secara yang lebih bertanggung- jawab.

Berbalik kepada homoseks dan lesbian ini ia bertentangan dengan fitrah manusia dan merosakkan kemaslahan manusia sedunia. Al-Quran menggambarkan perbuatan kaum Nabi Lut itu sebagai fasiq, jahat dan melampaui batas. Sehingga bumi diterbalikkan oleh kemurkaan Allah.

Oleh itu, negara di mana di dalamnya diamalkan jenayah zina, homoseks dan lesbian ini perlu berhati-hati sebelum ditimpa bencana musibah. Dari segi hukuman pula maka hukuman ke atas mereka serupa juga dengan hukuman terhadap penzina.

Meminum arak juga salah satu dosa besar. Maka ruangan ini mengajak semua pihak yang terlibat dengan semua dosa besar ini agar segera bertaubat. Pintu taubat selalu terbuka untuk mereka.

Di samping itu masyarakat harus memainkan peranan masing-masing. Ibu bapa harus membawa anak mereka yang terjebak ke dalam kancah ini berjumpa dengan mereka yang lebih tahu termasuk pakar psikologi atau pakar-pakar lain termasuk ahli agama untuk membincangkannya.

Para pengurus sekolah juga lebih bertanggungjawab. Demikian juga para pengurus asrama.

Kita semua tidak harus memandang kecil dan remeh perkara di atas. Para pemimpin juga harus memberi teguran yang baik, tidak hanya bercakap soal pembangunan fizikal dan kemajuan. Apa yang akan dicapai kemajuan dan wawasan 2020, jika akhlak masyarakatnya rosak seperti apa yang dialami di Barat. Bukankah umat Islam mempunyai acuan kemajuan sendiri, bukannya menjadi pak turut Barat.

Kepada para pemimpin yang baru dipilih, bertakwalah kepada Allah. Jangan menyombong diri dengan kuasa yang ada. Jangan lupa daratan dengan sedikit kemewahan dunia. Azab Allah lebih pedih dari segalanya dan neraka itu amat mengerikan. Hisablah diri kita semua sebelum kita dihisab di akhirat nanti. Wallahualam.

...Siapa yang sepatutnya banteras perbuatan zina ini?...

sudah banyak pihak yang bertanggungjawab membanteras maksiat termasuk polis dan pencegah maksiat. Untuk membanteras atau lebih tepat memerangi maksiat tidak memadai dengan ada begitu ramai penguat kuasa undang-undang tanpa ada kerjasama daripada ibu bapa dan masyarakat.

Berdasar kepada pendekatan Islam orang pertama yang bertanggungjawab dalam memerangi maksiat ialah ibu bapa, iaitu mereka perlu menyediakan pendidikan keluarga yang baik dan mereka pula menjadi keluarga yang mesra dan kasih sayang.

Selain itu perlu juga kawalan masyarakat dalam erti kata masyarakat tidak suka melihat perkara-perkara yang mendorong kepada maksiat berlaku depan mata mereka.

Jika ibu bapa dan masyarakat dapat melakukan tanggungjawab itu dengan sebaik-baiknya, penulis percaya kita tidak perlu kepada polis dan pencegah maksiat.

...Anak Zina di Binkan Dengan Siapa?...

Beberapa tokoh fiqh salaf, 'Urwah bin al-Zubair, al-Hasan al-Basri, Ishaq bin Rahuyah dan selain mereka berpendapat harus dinasabkan anak zina kepada bapa zinanya jika wanita berkenaan tidak pernah berkahwin (selepas itu). Pendapat ini disokong oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan muridnya Ibn al-Qayyim".

Namun, keputusan Fatwa Perlis hanya membincangkan tentang keharusan menasabkan anak kepada suami sekalipun perkahwinan itu kurang daripada enam bulan. Dengan itu maka mereka yang terlibat dalam perzinaan lalu bertaubat dan berkahwin, anak yang dikandung bolehlah dinasabkan kepada si suami sekalipun baru berkahwin dengan syarat tiada bantahan daripada suami.

Antara kebaikan fatwa ini, ia menutup keaiban lepas yang berlaku kepada pasangan yang sudah berkahwin dan bertaubat. Juga menghilangkan perasaan malu dan terasing anak yang selama ini tidak dibinkan kepada bapanya disebabkan faktor kekurangan tempoh perkahwinan serta membantu ibu bapa yang terlanjur meneruskan kehidupan dan pembinaan keluarga.
Mengikut Fatwa Mesir (Syaikh Hasan Ma'mun, 1957) menetapkan mana-mana anak yang diperakui oleh seorang lelaki sebagai anaknya dan didaftarkan kepadanya, maka dianggap anaknya. Prinsip Islam ialah jika si lelaki itu mengakui itu adalah anaknya dianggap sudah memadai.
Syaikhul Azhar, Syaikh Jaad alHaq Ali Jaadul Haq (Gaad alHaq), pada fatwa tahun 1981, berkata Hadith Abu Hurayrah (si anak itu bagi (pemilik) tempat tidur) membawa maksud, mana-mana anak yg lahir hasil dari perkahwinan yang sah, maka sahlah anaknya, tanpa perlu menyiasat bila ia hamil. Ini kerana nasab tsabit hanya dgn pengakuan si lelaki terhadap mana-mana bayi.
Rumusan: Status anak zina tidak hanya ditetapkan oleh tempoh kehamilan (minima 6 bulan), tapi memadai dengan pengakuan lelaki itu sahaja. Itulah syarat minima dalam syara'. Ini bermakna dosa berzina itu jauh lebih besar dari dosa berdusta untuk melindungi nasib anak zina yang tidak berdosa.








...Poligami dan zina...

Bersama: DR. AMRAN KASIMIN
SOALAN: Kaki kanan saya seumpama terpelesuk dalam lubang, yang sukar hendak ditarik keluar, biarpun kaki kiri masih di permukaan bumi, tetapi semakin tidak bermaya longlai.

Saya mempunyai isteri yang terpelajar dan berpendidikan agama. Rumah tangga kami asalnya begitu bahagia, tetapi setelah hampir 11 tahun, saya seumpama tidak sedar, macam mana saya boleh jatuh cinta dengan seorang gadis.

Secara berterangan saya memberitahu isteri yang saya ingin mengahwininya. Isteri saya tidak membantah atau setuju, tetapi menyuruh saya menceraikannya.

Masalah besar ialah apabila ibu saya tidak mengaku saya anaknya, kalau saya meneruskan hasrat untuk mengahwini gadis ini. Ibu bersikap demikian mungkin kerana ia merasa betapa akrabnya hubungan kami dua keluarga.

Saya mencari jalan keluar, memutuskan hubungan dengan gadis ini dan rasa amat kesal serta kecewa. Saya mula berjinak-jinak dengan dunia hiburan, tetapi berakhir dengan kehidupan yang langsung tidak saya duga sama sekali selama ini, iaitu melanggani pelacur kelas atasan.

Saya tahu dosa-dosa besar melakukan zina, tetapi saya benar-benar kecewa, kerana masyarakat memandang serong dan ganjil sesuatu yang halal, iaitu poligami. Tetapi menganggap sebagai “perkara biasa” terhadap dunia pelacuran atau persundalan. Masyarakat Islam perlu memahami hukum Islam yang berkaitan dengan poligami, sebagai satu jalan keluar mengatasi masalah zina. Pendapatan saya lebih daripada sembilan ribu ringgit setiap bulan.

– Lazim, KL

Jawapan: Islam mengharuskan poligami dengan syarat si suami berlaku adil terhadap isteri-isteri yang dikahwini. Adil yang berkaitan dengan harta seperti nafkah, urusan tempat tinggal, makanan, pakaian, giliran bermalam dan sebagainya termasuk yang berkaitan dengan anak. Lumrahnya, tanggungjawab ini di dalam keupayaan manusia.

Masalah utama yang saudara hadapi ialah isteri yang meminta diceraikan kalau mahu berkahwin lagi, manakala keluarga terutama kedua-dua ibu bapa menganggap saudara anak derhaka kalau berkahwin lagi satu.

Islam tidak mensyaratkan poligami mesti dengan izin isteri. Namun adalah sukar biarpun bukan mustahil untuk menyatakan adanya isteri yang boleh memberi izin kepada suaminya berkahwin lagi, biarpun seorang ustazah yang memahami bahawa Islam mengharuskan poligami. Tabiat semula jadi manusia, tidak mahu berkongsi kasih.

Tergambar dalam fikiran bagaimana si suami memadu kasih dengan madunya. Mungkin dalam mengingatinya kepala berdetap menjadi sakit, dunia gelap gelita.

Tindakan suami mungkin boleh dianggap mencabar kesetiaannya selama ini, seolah-olah si suami telah “menduakannya” biarpun poligami itu diharuskan oleh Islam.

Islam tidak menggalakkan berpoligami, tetapi mengharuskannya sebagai salah satu jalan keluar mengatasi masalah seperti ketika isteri uzur, sakit dan tidak berupaya melayani naluri suami. Suami kuat nafsu dan sebagainya.

Namun tanpa alasan seperti ini, sekiranya seorang lelaki itu bernikah lagi, pernikahan itu tetap sah, asalkan semua syarat dan rukun perkahwinan itu dipenuhi.

Banyak orang berkahwin tanpa ada alasan seperti yang dijelaskan atau dorongan seperti ini, lebih-lebih lagi orang yang mempunyai banyak wang seperti saudara. Ia tetap sah dan tidak berdosa andainya sifat adil itu, ada pada diri dan berkeyakinan berupaya melaksanakannya.

Mungkin sukar untuk menyokong sikap seorang suami yang dikatakan menyintai isteri dan anak-anaknya, tetapi dalam masa yang sama bercinta dengan perempuan lain.

Namun begitu, ia bukan mustahil berlaku lebih-lebih lagi bagi orang yang mempunyai selera tinggi, sukakan yang cantik dan muda. Orang seperti ini kadang-kadang pada peringkat awal tidak minat sangat untuk berkahwin lagi, lebih-lebih lagi bagi yang banyak tugas dan sibuk, tetapi kerana naluri dalamannya tanpa disedari bila bermula, dia akhirnya terjebak ketika ‘bermain dengan api atau ombak’, menyebabkan jatuh kasih atau rasa simpati atau ihsan kerana kasih itu tidak ubah seumpama sekam dalam api.

Dalam masa yang sama dia tetap mengasihi isteri yang ada, sayang rumah tangga yang begitu lama dibina, juga anak-anak di rumah.

Izin isteri bukan merupakan syarat kesahihan pernikahan lelaki berpoligami. Bagi orang lelaki yang berusaha untuk berkahwin lagi, tetapi tertahan kerana sebab tertentu, terutamanya untuk mendapatkan keizinan isteri, akan melakukan pelbagia cara untuk melaksanakannya.

Terdapat kes suami menipu isteri untuk menurunkan tanda tangan, kahwin lari ke sempadan, kahwin yang dinikahkan oleh wali perempuan tanpa merujuk ke pejabat kadi dan sebagainya, termasuk melalui sindiket palsu.

Saudara mempunyai keupayaan untuk berkahwin lagi, tetapi terhalang kerana isteri meminta cerai, manakala ibu bapa menganggap saudara anak derhaka.

Tanpa melihat, sama ada pro atau kontra lelaki berpoligami, ketika berhadapan dengan situasi seperti yang saudara hadapi, seseorang itu mesti menghulurkan mesej syarie yang hakiki. Saudara mempunyai keupayaan dari segi kebendaan, seorang yang terpelajar dan mempunyai ciri-ciri sifat adil serta yakin untuk melaksanakannya.

Kerana itu, jalan keluar bagi saudara ialah berkahwin lagi. Dalam kes ini, mungkin dengan kekasih saudara.

Namun, untuk mengelakkan keadaan rumah tangga yang bercelaru dan dianggap anak derhaka, saudara mencari jalan sesat dengan melanggani perempuan jalang dan sehingga sekarang, saudara merasakan amalan itu sebahagian daripada rutin hidup, sebagai budaya mingguan.

Tidak ada statistik membuktikan 99 peratus pelanggan pelacur adalah lelaki yang beristeri. Mungkin anggapan saudara itu ada lojiknya berdasarkan pemerhatian saudara. Dalam masa yang sama, bukan mudah untuk membuktikan anggapan seperti ini benar dan tepat.

Walaupun demikian pemerhatian saudara terhadap apa yang berlaku tidak boleh dijadikan satu hujah atau sokongan terhadap apa yang saudara lakukan, ataupun dijadikan alasan menghilangkan rasa berdosa melanggani pelacur.

Saya tidak membicarakan dosa zina kerana saudara sedia memahaminya, tetapi saudara perlu ingat bahawa berzina itu dosa. Dosa itu najis dan najis itu kotor, yang kotor itu lumrahnya busuk. Bagi orang terlibat dengan dosa zina buat kali pertama dia akan menyesal sama seperti dengan orang yang bersentuh atau terhidu najis.

Dia menjadi tidak menentu, merasa loya atau muntah, tetapi kalau terus berulang, ia menjadi sebahagian hidup, berasa tidak janggal dan tidak seronok kalau tidak melakukan dosa atau berasa asing tidak terhidu najis. Begitu juga dengan peri laku zina yang menjadi rutin.

Saudara terlalu malang andainya mengakhiri sisa-sisa hidup dalam maksiat, ketika menapak kaki melanggani kupu-kupu malam atau menghembuskan nafas di pangkuannya, pada hal saudara seorang yang pernah taat sembahyang, puasa, tidak minum arak dan tidak menerima rasuah. Salah satu ciri insan bertakwa yang tidak mudah dimenangi oleh semua orang.

Kalau benar ada isteri yang lebih rela suaminya melakukan maksiat daripada beristeri secara sah, pada hal si suaminya melakukan maksiat daripada beristeri secara sah, pada hal si suami dapat memenuhi tuntutan berpoligami, ini bererti secara langsung atau tidak langsung dia adalah terlibat dengan peri laku si suami.

Pada hakikatnya, keharusan poligami dan cara penyelesaiannya lebih tertakluk kepada kes yang berbeza. Tuntutan isteri agar diceraikan untuk membolehkan suami berkahwin lagi memang banyak berlaku, memperlihatkan protes atas keinginan suami tadi.

Walaupun demikian mungkin tidak berlaku pada semua orang, terutamanya pada isteri yang uzur, tua, sakit, mempunyai ramai anak dan tidak bekerja. Seperkara lain, biarpun tuntutan cerai itu banyak berlaku, kata putus yang ditetapkan oleh syarak ialah di tangan suami. Mereka yang beriman dan takutkan Allah menggunakan kuasa ini sebaik mungkin kerana isteri itu amanah Allah, yang dihalalkan baginya dengan ikatan perkahwinan.

Biarpun poligami seumpama mencabar kesetiaan seorang isteri, pendapat saudara, poligami sebagai pengorbanan terhadap wanita yang dikahwini terutamanya yang menghadapi masalah anak banyak, keselamatan diri, maruah dan sebagainya memang ada logiknya.

Kerana itu dalam keadaan seumpama itu, ada perempuan yang rela dijadikan isteri kedua. Walaupun, bagi yang meminati gadis muda dan cantik, sukar sedikit untuk merangkumkan perkahwinan seperti ini termasuk dalam kategori pengorbanan, biarpun tidak dinafikan ianya melibatkan pengorbanan.

Perilaku saudara juga seumpama bertindak balas terhadap sikap isteri dan keluarga. Biarpun mereka mempunyai kaitan terhadap tindak-tanduk saudara, dosa yang dilakukan seseorang, tidak akan ditanggung orang lain.

Memang benar seperti yang saudara jelaskan bahawa masyarakat memandang amalan berpoligami itu sebagai sesuatu yang halal tetapi dianggap “janggal” atas sebab-sebab yang saling berkait. Berbanding dengan lelaki yang melanggani pelacur-pelacur, bersekedudukan atau perempuan simpanan kadang-kadang dirasakan orang yang berpoligami itu seolah-olah merobek naluri budaya hidup.

Keadaan ini berlaku atas sebab yang saling berkait, di antaranya ialah kerana penyalahgunaan keharusan poligami. Selain dari itu, poligami diamalkan secara berterangan, secara rasmi pada hal amalan melanggani pelacur, bersekedudukan atau menyimpan perempuan simpanan itu dilakukan secara tersembunyi. Walaupun demikian saya berkeyakinan, masyarakat umum tidak akan memandang serong terhadap suami yang berpoligami yang bertanggungjawab terhadap isteri-isterinya,

Manusia dalam banyak hal lebih mudah malu kepada jiran-jiran, kawan sekerja dan masyarakat sekeliling berbanding dengan Tuhan yang sentiasa memerhatikan tingkah laku mereka, sama ada malam atau ketika sunyi sepi.

Tidak mudah untuk menyatakan isteri lebih rela suaminya melanggani perempuan jalang, mempunyai perempuan simpanan atau bersekedudukan daripada suaminya berkahwin lagi. Bagi isteri yang terpelajar, berilmu dan menyayangi suaminya, begitu juga ibu bapa atau keluarga akan merelakan seorang suami itu berkahwin lagi daripada terlibat dengan kancah maksiat.

Masyarakat Melayu Islam tahu, poligami adalah sesuatu yang diharuskan, tetapi sesetengah orang tidak gemarkan amalan poligami kerana sikap atau kelakuan sebahagian daripada mereka yang melakukan poligami atau beristeri lebih daripada satu tidak berlaku adil. Ramai yang berpoligami tetapi kewangannya tidak mencukupi. Ada yang tidak mempunyai kerja tetap malahan hidup di atas tulang empat kerat isteri-isteri yang dikahwini. Ketidakadilan itu juga sering berlaku kerana suami yang berkahwin semata-mata kerana nafsu. Mereka inilah yang menyalahgunakan keharusan yang diberi atau ditetapkan oleh Islam.

Keadaan ini menjadi lebih buruk apabila aduan yang dilakukan oleh isteri yang terlibat ke pejabat-pejabat kadi kurang mendapat perhatian kerana kekurangan kakitangan yang terlatih, menyebabkan isteri-isteri terus menerus menderita mencari nafkah diri dan anak-anak yang ditinggalkan.

Lebih rumit apabila ketetapan yang diputuskan oleh mahkamah syariah tidak dilaksanakan. Terlalu banyak punca menyebabkan keharusan poligami menjadi sebagai sesuatu yang menakutkan.

...Jalan keluar bagi pasangan yang sudah terlanjur - Anak zina dibin pada bapa...

Hanya dua jalan keluar sahaja yang disering digunakan untuk masalah anak zina di Malaysia. Pertama, menjadikan seseorang anak zina itu berbin/binti Abdullah dan mana-mana nama Allah yang dipanggil al-Asma'u al-Husna. Jalan keluar yang pertama ini dianggap sah dari segi hukum agama walaupun bukan dianggap terbaik. Kedua, mencampak atau membuangkan anak zina di tepi jalan, dalam longkang dan tong sampah. Jalan keluar kedua ini pula dianggap haram dan tidak sah dari hukum agama.

Beberapa jalan keluar lain yang juga dianggap sah dari segi hukum agama dan mungkin dianggap lebih baik daripada mengebinkan anak zina dengan Abdullah atau mana-mana nama Allah al-Husna yang lain, tetapi ia tidak digunakan oleh orang Islam di Malaysia. Demikian itu kerana orang Malaysia lebih suka berpegang dengan hukum fikah yang bersifat satu pandangan dan satu mazhab. Mereka tidak mahu terbuka kepada pandangan-pandangan dan mazhab-mazhab yang lain.

Dua daripada jalan keluar itu akan dibincang secara terperinci di bawah ini.

Berdasar kepada perangkaan tahun 2001, Malaysia mempunyai 53,309 anak zina atau anak tidak sah taraf. Jumlah itu didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) antara tahun 1999 hingga tahun 2001. Ia bukan angka kecil yang boleh dipandang remeh. Penulis tidak mempunyai perangkaan mutakhir, tetapi sudah tentu ramai juga yang didaftar sepanjang tahun lalu dan sehingga empat bulan pertama tahun ini.

Mungkin ramai juga anak zina tidak didaftar dengan JPN. Begitu juga jumlah anak zina yang dicampak atau ditinggalkan di tepi jalan, tepi masjid, di dalam longkang, tong sampah dan lain-lain.

Apakah semua yang dianggap anak zina itu benar-benar anak zina? Mungkin ada di antara ribuan anak zina yang didaftar atau tidak didaftar dengan JPN atau yang dicampak atau ditinggalkan di tepi jalan, di tepi masjid, dalam longkang dan tong sampah itu sebenarnya bukan anak zina atau boleh dipulih taraf menjadi anak yang sah dari segi hukum syarak. Tetapi mereka yang terlanjur tidak mengetahui perkara itu dan mengambil tindakan yang tidak tepat dengan memangsakan anak mereka.

Sebagai contoh seorang gadis hamil kerana terlanjur dengan tunangnya. Pasangan ini pula tidak mengambil tindakan yang tepat untuk menyelesaikan dilema yang dihadapi. Sepatutnya si gadis yang hamil itu dan tunangnya terus melangsungkan perkahwinan. Tetapi kerana mereka kurang pengetahuan tentang hukum agama serta malu atau takut kepada keluarga, maka mereka membiarkan masalah yang boleh diatasi (hamil) dengan mudah itu menjadi masalah besar (kelahiran anak zina) yang sukar diatasi. Padahal Islam mempunyai jalan keluar bagi menyelesaikan masalah anak yang terhasil daripada perbuatan zina menjadi anak yang sah taraf dari segi hukum syarak.

Salah satu jalan keluar yang diakui dan diguna pakai di Malaysia ialah lelaki dan wanita yang terlanjur mesti berkahwin secepat mungkin dan anak yang lahir melebihi tempoh enam bulan dalam kandungan selepas mereka berdua berkahwin adalah anak yang sah taraf dari segi hukum syarak. Anak mereka berdua itu bukan lagi anak zina walaupun terhasil daripada perbuatan zina mereka.

Apakah orang-orang yang telah terlanjur mengetahui ada jalan keluar seperti ini?

Penulis membentangkan di sini salah satu lagi jalan keluar untuk menyelesaikan masalah orang yang terlanjur itu dan sekali gus dapat menyelamatkan ramai anak zina. Untuk membentangkan jalan keluar yang luas ini, penulis merujuk kepada fatwa ulama pembangkang Mesir terkenal, Dr. Yusuf Al-Qaradawi dan beberapa kitab ulama zaman silam di mana penulis menyebut nama kitab-kitab berkenaan serta nombor juz dan nombor muka suratnya supaya mudah dirujuk oleh sesiapa saja yang ingin mendapat ilmu secara lebih terperinci.

Dr. Al-Qaradawi dalam fatwanya berkata, anak zina boleh dibin kepada bapanya dan dia dianggap anak yang sah dan mendapat segala hak yang ditetapkan oleh hukum syarak jika bapanya berkahwin dengan ibunya. Beliau tidak menganggap anak perlu berada dalam kandungan ibu yang terlanjur selama melebihi enam bulan sebelum dia diijabkabulkan dengan pasangannya seperti kata ulama-ulama lain.

Fatwa yang agak janggal di Malaysia ini bukan sama sekali fatwa baru yang diijtihad oleh Dr. Al-Qaradawi, tetapi ia merupakan fatwa lama yang merujuk kepada Rasulullah s.a.w., beberapa orang sahabat, tabii dan ulama terdahulu (salaf) dan terkemudian (khalaf).

Bagaimanapun, fatwa ini tidak diguna pakai langsung di Malaysia. Sebaliknya yang diguna pakai ialah fatwa yang memperuntukkan bahawa anak yang lahir dari ibu yang hamil melebihi tempoh enam bulan setelah dia diijabkabulkan dengan lelaki yang terlanjur dengannya adalah anak sah taraf.

Dalam erti kata lain jika seorang wanita terlanjur dengan seorang lelaki dan hamil tiga bulan atau lebih tiga bulan, kemudian dia diijabkabulkan dengan lelaki itu, maka anak yang dilahirkan dianggap anak mereka yang sah dari segi hukum syarak.

Namun begitu terdapat cerdik pandai agama kita yang tidak menerima fatwa yang membolehkan anak yang lahir daripada ibu yang hamil melebihi enam bulan itu sebagai anak yang sah. Sebaliknya mereka berkata, anak hasil perbuatan zina antara lelaki dan wanita itu tetap dianggap anak zina walaupun mereka berkahwin secara sah tiga bulan selepas mereka terlanjur.

Perkahwinan

Secara harfiah Dr. Al-Qaradawi dalam fatwanya berkata, penzina lelaki dan penzina wanita jika mereka berdua bertaubat kepada Allah dan menghendaki keluar daripada haram kepada halal, keluar daripada kehidupan yang kotor kepada kehidupan yang bersih dan mahu mengubah kehidupan mereka berdua daripada zina yang diharamkan untuk hidup dalam kehalalan, maka perkahwinan mereka berdua dianggap sah (oleh ulama) secara ijmak (konsensus). Kebanyakan (jumhur) ulama fikah tidak menjadikan taubat sebagai syarat kesahan berkahwin dengan penzina wanita seperti diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab di mana dia telah memukul (iaitu mengenakan hukum sebat ke atas) seorang lelaki dan seorang wanita dalam kes zina dan dia (Umar) mengambil berat untuk mengumpul (mengahwinkan) mereka berdua.

Cuma ulama mazhab Hanbali sahaja yang meletakkan syarat bertaubat dan mereka berhujah dengan firman Allah: (an-Nur: 3) Lelaki yang berzina tidak berkahwin kecuali wanita yang berzina atau wanita yang musyrik; dan wanita yang berzina tidak berkahwin melainkan dengan lelaki yang berzina atau lelaki yang musyrik; dan yang demikian itu diharam ke atas orang-orang yang beriman.

Mengenai tindakan mengebin atau menasabkan anak zina, Dr. al-Qaradawi berkata, beberapa orang fuqaha Salaf seperti `Urwah bin az-Zubeir, al-Hasan al-Basri, Ishaq bin Rahawaih dan lain-lain mengharuskan istilhaq (menggabung/mengebin/menasabkan) anak zina kepada lelaki yang mendakwanya jika wanita (yang berzina dengan lelaki itu) bukan isteri orang kerana belum pernah berkahwin atau telah diceraikan atau seorang janda.

Dr. Al-Qaradawi mengutip pandangan Ibn Taimiah dan Ibn Al-Qaiyyim untuk berhujah tentang perkara itu. Beliau berkata, Ibn Taimiah dan muridnya Ibn Al-Qaiyyim mentarjih (mengutama dan menguatkan) pandangan tersebut. Ibn Al-Qaiyyim selepas menyebut hadis: Anak adalah bagi katil dan bagi lelaki pelacur adalah hajar. Yang dimaksudkan dalam hadis anak adalah bagi katil ialah mengikut apa yang berlaku di atas katil antara lelaki dan wanita yang berkahwin secara sah atau antara lelaki dan hamba wanita yang dimiliki.

Manakala yang dimaksudkan dalam hadis: Bagi lelaki pelacur adalah hajar ialah bagi lelaki yang mengadakan hubungan seks secara haram adalah batu, iaitu kena rejam dengan batu atau tidak dapat apa-apa termasuk anak seolah-olah dia hanya dapat biji-biji batu dan pasir yang tidak berharga. Lihat Syarh an-Nawawi Ala Sahih Muslim, juz 10, muka surat 37.

Ibn Al-Qaiyyim berkata, menurut Dr. Al-Qaradawi jika dikatakan hadis itu menjadi dalil hukum mengistilhaq (menggabung/mengebin dan menasabkan) anak pemilik katil (iaitu suami), maka apa pula akan dikatakan jika penzina mengistilhaq (menggabung/mengebin dan menasabkan) anak yang bukan katil?

Terdapat orang yang menentang, apakah disambungkan anak zina itu dengan nasab lelaki dan disabitkan hukum nasab ke atasnya? Katanya masalah ini merupakan masalah yang jelas di mana ulama berbeza pandangan tentangnya. Ishaq bin Rahawaih menganggap anak kelahiran dari perbuatan zina jika tidak dilahir atas katil yang didakwa dimiliki oleh seseorang dan penzina mendakwa anak itu adalah anaknya, disambungkan anak zina itu kepadanya. Ishaq bin Rahawaih mentakwilkan sabda Nabi s.a.w.: Anak adalah bagi katil, yang digunakan untuk menyelesaikan masalah perbalahan antara penzina dengan pemilik katil. Itulah mazhab Al-Hasan Al-Basri yang meriwayatkan daripadanya Ishaq bin Rahawaih dengan sanadnya mengenai seorang lelaki berzina dengan seorang wanita dan wanita itu melahirkan seorang anak lelaki, maka lelaki itu mendakwa anaknya.

Al-Hasan Al-Basri berkata: ``Lelaki disebat dan anak dipertanggungjawab kepadanya.'' Ia juga mazhab `Urwah bin Az-Zubeir dan Sulaiman bin Yasar yang diriwayat mereka berkata: ``Mana-mana lelaki datang kepada budak dan mendakwa ia merupakan anak dan dia berzina dengan emaknya dan tidak mendakwa budak itu ke atas sesiapa, ia (budak) adalah anaknya.

Sulaiman bin Yasar berhujah bahawa Umar bin Al-Khattab menggabungkan anak-anak orang jahiliah dengan mereka yang mendakwa sebagai anak mereka dalam Islam. Mazhab ini adalah kuat dan jelas.

Untuk menyokong fatwa Dr. Al-Qaradawi itu penulis merujuk kepada pandangan Imam Asy-SyafiI dalam kitab al-Umm (al-Umm, juz 6, muka surat 197) di mana beliau berkata, Rasulullah s.a.w. menghukum dengan katil (iaitu mengikut apa yang berlaku di atas katil antara lelaki dan wanita yang berkahwin secara sah atau antara lelaki dan hamba yang dimiliki) Jika lelaki mengaku bersetubuh dengan emaknya, anak itu digabung (dibin dan dinasabkan) dengannya kecuali jika dia mendakwa istibra wanita itu selepas bersetubuh dengannya dan kemudian dia tidak mendekatinya. Maksud istibra ialah tidak bersetubuh dengan isteri selepas datang haid.

Pandangan yang serupa diungkap oleh Ibn Qudamah di mana beliau menulis dalam kitab al-Mughni (al-Mughni, juz 6, muka surat 228) dengan berkata, anak zina tidak boleh digabung kepada penzina menurut pandangan kebanyakan ulama. Tetapi Hasan, Ibn Sirin menganggap boleh digabung kepada penzina jika didirikan ke atasnya hukuman hudud dan anaknya itu boleh mewarisinya pula.

Ibrahim pula berkata digabungkan anak zina dengan penzina jika dia dikenakan hukuman sebat. Ishak juga berkata digabung anak zina dengan penzina. Begitu juga diriwayat daripada `Urwah dan Sulaiman bin Yasar.

Ibn Rusyd dalam kitab Bidayah al-Mujtahid, juz 2, muka surat 268 pula menulis kebanyakan ulama bersepakat bahawa anak zina tidak digabung dengan bapanya kecuali yang berlaku pada zaman jahiliah seperti diriwayat daripada Umar bin Al-Khattab, tetapi para sahabat yang berbeza pandangan tentang perkara itu. Manakala segelintir menganggap anak zina digabung dengan bapanya juga pada zaman Islam.

Ulama dalam mazhab Hanafi juga menganggap jika tidak orang lain mendakwa anak itu anaknya, maka dia adalah milik pendakwa itu. Tetapi jika ada orang lain mendakwa seperti pendakwa pertama, maka pemilik katil diberi keutamaannya (at-Turuq al-Hukmiah, muka surat 324)

Fatwa Ibn Taimiyyah yang dirujuk oleh Dr. Al-Qaradawi terdapat dalam Kutub Wa Rasa-il Wa Fatawa Ibn Taimiah, juz 32, muka surat 137-139. Rujukan-rujukan tambahan lain boleh dilihat dalam kata-kata Imam asy-SyafiI dalam al-Umm, juz 6. muka surat 254, huraian panjang lebar dalam Fathul Bari, juz 12 muka surat 35-37 dan beberapa hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayat oleh Al-Bukhari, hadis no. 1912, 2348, 2040, 3964, 6252 dan 6646, an-Nasaa'i hadis no. 3433, Muwatta' Imam Malik hadis no. 1224 dan ad-Darimi hadis no. 2139.

Fatwa Dr. Al-Qaradawi di atas boleh didapati di Islamonline.net di alamat: http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=76246)

Rencana ini salah satu daripada enam rencana mengenai status anak zina dalam fokus yang disiar dalam majalah Al Islam keluaran Jun yang akan berada dalam pasaran pada 16 Mei ini.

...Wanita berzina jangan salahkan teman lelaki...


MUKA hadapan Utusan Malaysia 26 Oktober 2005 melaporkan keluhan seorang perempuan yang mendakwa ia menjadi mangsa ketidakadilan Mahkamah Syariah kerana mahu menghukumnya atas kesalahan hamil luar nikah. Beliau juga kesal kerana hanya beliau sahaja yang diambil tindakan, sedangkan pasangan lelakinya masih bebas dan tidak diambil tindakan.

Isu mengenai kes ini (hamil luar nikah) pernah diperdebatkan oleh pertubuhan-pertubuhan wanita yang mengatakan tidak adil hanya perempuan sahaja di ambil tindakan.

Di sini saya ingin membuat perbandingan dengan kes rogol, hanya lelaki sahaja yang diambil tindakan. Mengikut statistik, kebanyakan kes rogol dilakukan oleh orang yang dikenali seperti teman lelaki dan sebagainya. Contohnya, bagi pasangan yang mengamalkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, mereka selalu berpeleseran sama ada di kompleks membeli belah, di disko-disko. Setelah puas berpeleseran mereka akan mencari tempat untuk bermalam. Biasanya perempuan sebegini dengan rela hati mengikut teman lelakinya untuk pulang ke rumah sewaannya atau bilik-bilik hotel.

Hubungan seksual sudah menjadi rutin kepada pasangan-pasangan sebegini. Namun begitu apabila berlaku ketegangan dan salah faham antara mereka, perempuan ini akan mendakwa ia dirogol, sedangkan mengikut fakta ia sebaliknya.

Ramai lelaki dalam kes-kes yang sedemikian yang telah disabitkan dan dihukum dengan penjara dan sebatan, manakala pasangan perempuannya pula bebas melakukan kegiatannya dengan lelaki lain pula. Sedangkan dia juga mempunyai aset yang besar yang menyebabkan ia dirogol.

Akhbar memang banyak melaporkan kes-kes begini, iaitu dirogol setelah mengikut teman lelaki, yang kadang-kadang hanya dua jam dikenali. Saya merasakan jika terdapat fakta rogol yang sebegini, perempuan juga patut dikenakan hukuman yang setimpal dengan sumbangannya menyebabkan ia dirogol. Manakala bagi kes rogol yang melibatkan paksaan atau serangan oleh lelaki, memang wajarlah mereka sahaja dihukum.

Seterusnya perempuan tersebut berasa kesal dengan tindakan Mahkamah Syariah yang dikatakan telah memburunya. Sebenarnya mahkamah tidak memburu atau menangkap orang. Ini tugas pihak penguat kuasa atau polis. Fungsi sesebuah mahkamah dalam kes jenayah ialah menerima permohonan dari pihak pendakwaan untuk mendakwa seseorang yang didapati melanggar undang-undang yang termaktub di dalam sesuatu akta atau enakmen. Pendakwa juga yang bertindak memohon saman, waran tangkap dan sapina untuk memanggil tertuduh dan saksi-saksi ke mahkamah. Mahkamah akan mendengar kes tersebut dan akan membuat keputusan.

Perempuan tersebut juga tidak boleh mempertikaikan mengapa pasangan lelakinya tidak didakwa kerana pendakwa mempunyai kuasa eksklusif untuk membuat pendakwaan atau tidak terhadap mana-mana kes. Pihak pendakwaan biasanya menapis terlebih dahulu sebelum sesuatu kes dibawa ke mahkamah.

Kes-kes yang ada kekuatan bukti sahaja yang akan dibawa, manakala kes yang kurang pembuktian akan diketepikan atau pegawai penyiasat diarah menyiasat semula. Dalam kes perempuan tersebut, pihak pendakwaan mungkin kekurangan bukti untuk mendakwa pasangan lelaki melakukan zina kerana untuk sabitan kes zina perlu empat orang saksi lelaki yang adil melihat perzinaan tersebut.

Pendakwaan tanpa syarat tersebut akan menyebabkan orang yang mendakwa pula boleh dihukum sebat 100 kali. Difahamkan juga ada dua orang lelaki terlibat dengan hubungan intim dengan perempuan tersebut. Yang mana satu telah menghamilkannya?

Namun begitu saya telah meneliti Akta/ Enakmen Jenayah Syariah. Kesalahan zina dinyatakan sebagai persetubuhan luar nikah dan hukuman maksimum hanya denda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau enam sebatan atau kombinasi mana-mana hukuman tersebut.

Pada pendapat saya, pihak pendakwaan boleh memanggil lelaki-lelaki berkenaan untuk diambil pengakuan di hadapan saksi-saksi. Jika ada pengakuan/ikrar dari lelaki-lelaki tersebut, bolehlah dilakukan pendakwaan terhadap mereka di mahkamah. Ini kerana hukuman yang dilaksanakan bukanlah melibatkan hukum hudud.

Begitu juga dengan keterangan melalui DNA dirasakan pihak pendakwaan boleh gunakan sebagai pembuktian di mahkamah untuk menentukan siapakah ayah kepada anak yang telah dilahirkan oleh perempuan itu.

Ingin saya nyatakan bahawa perempuan tersebut tidak perlu menyalahkan sesiapa di dalam hal ini. Salahkanlah diri sendiri. Pendakwaan terhadapnya atas kesalahan hamil luar nikah dibuat kerana ia kes yang prima facie (pembuktian yang jelas) yang tidak dapat disangkal, apatah lagi dengan pengakuannya sendiri yang mengamalkan pergaulan bebas.

Manakala tentang nafkah anak tersebut adalah wajib ke atas beliau menanggungnya. Lelaki yang menghamilkannya juga boleh diperintahkan membayar nafkah mengikut peruntukan di bawah seksyen 81(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pahang 1987, yang memperuntukan: Jika seseorang bapa yang disangkakan, cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tidak sah taraf, yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya, memerintahkan bapa yang disangkakan itu memberi apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh mahkamah.

Saya tidak pasti sama ada di negeri lain ada peruntukan tersebut. Kalau ada, saya nasihatkan beliau berjumpa dengan mana-mana Peguam Syarie untuk membuat tuntutan nafkah dari lelaki tersebut

...Ulasan kes zina oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin...

Soal maruah adalah besar dalam Islam. Bukan seperti Barat yang menjadikan maruah taruhan berita sensasi. Justeru, sekalipun Islam menjatuhkan hukuman sebat 100 rotan kepada penzina, Islam juga menetapkan syarat ketat terhadap yang menuduh orang lain berzina. Maka Islam menghukum penuduh tanpa cukup saksi dalam kes zina dengan 80 rotan. Ini kerana dia telah mempermainkan maruah orang lain. Juga Islam cuba menghalang sikap suka mendedahkan aib orang lain dalam perkara yang tidak cukup keterangan dan bukti. Firman Allah: (maksudnya) “Dan orang- orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah al-Nur: ayat 4)

Namun, Islam tidak mewajibkan pula seseorang yang menuduh isterinya berzina agar mendatangkan empat orang saksi. Ini kerana tuduhan zina kepada isteri sendiri hanya mencalarkan maruah penuduh. Maka, agak sukar untuk seseorang itu menuduh isterinya secara bohong berzina. Juga amat berat untuk seseorang itu mendiamkan diri apabila mengetahui isterinya berzina. Ini kerana kedua-dua keadaan itu merobohkan maruah dan kehormatan dirinya. Jika orang lain yang berzina, mungkin dia mampu mendiamkan diri disebabkan kekurangan saksi. Tetapi sudah pasti tidak bagi kes isterinya. Justeru Allah menyebut: (maksudnya) “Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya dia dari orang-orang yang benar; Dan sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata): “bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika dia dari orang- orang yang dusta. Dan bagi menghindarkan hukuman seksa terhadap isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah dia (isteri) bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu benar-benar daripada orang-orang yang berdusta; - Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang- orang yang benar. (Surah al-Nur ayat 6-9).

...Apakah Anak Zina Boleh Masuk Syurga...

Anak hasil zina tidak ikut menanggung dosa, kerana perbuatan zina dan dosa kedua orang tuanya. Sebab hal tersebut bukan perbuatannya, tetapi perbuatan kedua orang tuanya, kerana itu dosanya akan ditanggung mereka berdua. Allah Subhanahu wa Taala berfirman.

Ertinya : Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya(Al-Baqarah : 268)

Dan firmanNya.

Ertinya : Dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain (Al-Anam : 164)

Berkaitan dengan statusnya, dia seperti halnya orang lain. Kalau taat kepada Allah, beramal shalih dan mati dalam keadaan Islam, maka mendapat syurga. Sedang, jika bermaksiat dan mati dalam keadaan kafir maka dia termasuk penghuni neraka. Dan jika mencampuradukkan antara amal shalih dan amal buruk serta mati dalam keadaan Islam maka statusnya terserah kepada Allah ; boleh mendapat pengampunanNya atau dihukum di neraka terlebih dahulu sesuai dengan kehendakNya, namun tempat kembalinya adalah syurga berkat kurnia dan rahmat Allah Subhanahu wa Taala.

Adapun ungkapan yang mengatakan, Tidak dapat masuk syurga anak hasil zina maka ini adalah hadits maudhu (palsu).

Hanya kepada Allah kita memohon taufikNya. Semoga shalawat dan salam tetap tercurah kepada Nabi kita Muhammad, keluarga dan para sahabatnya.

...Bagaimana kita hendak cegah perbuatan zina ini?????...

Bagaimanakah cara untuk tidak mendekati zina? Allah S.W.T telah berfirman dalam surah an-Nur ayat 30 yang bermaksud, Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman supaya menahan sebahagian penglihatan dan menjaga kehormatanya. Dalam ayat 31 pula Allah S.W.T telah berfirman, Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menahan sebahagian penglihatan mereka dan memelihara kehormatannya. Jelaslah disini bahawa lelaki dan perempuan hendaklah menahan pandangan mereka daripada perkara-perkara yang dapat membangkit kan nafsu. Allah S.W.T telah mensyariatkan supaya lelaki dan lebih-lebih perempuan untuk menutup aurat supaya dapat menjaga kehormatan mereka.

Dalam surah an-Nur ayat 32 Allah berfirman supaya tidak memperlihatkan perhiasan iaitu tubuh wanita kecuali yang nyata seperti muka dan kedua-dua tapak tangan serta melabuhkan kerudung mereka sehingga menutup leher dan dada mereka. Dalam surah al-Ahzab ayat 59 Allah telah berfirman, Wahai nabi, katakanlah kepada isteri-isteri dan anak-anak engkau dan perempuan-perempuan beriman supaya mereka menutup tubuhnya dengan pakaian( ketika di luar) dengan demikian mereka tidak akan diganggu, dan Allah itu Maha pengampun dan Maha penyayang. Dalam sura an-Nur ayat 58 pula, Allah S.W.T telah menetapkan untuk meminta izin kepada ahli keluarga untuk memasuki bilik mereka pada 3 waktu iaitu sebelum solat subuh, waktu zuhur dan selepas isya’. Hal ini adalah kerana pada waktu ini ahli keluarga kita akan menukar pakaian untuk berehat dan hal ini dapat mengelakkan sumbang mahram di dalam keluarga.

Rasulullah juga menyuruh umatnya untuk mengasingkan anak-anak mereka semasa tidur ketika umur mencecah 7 tahun. Rasulullah juga mengingatkan kita untuk tidak berdua-duaan antara lelaki dan perempuan kerana akan hadir orang ketiga iaitu Syaitan dan syaitan sememangnya akan menggoda 2 manusia ini untuk melakukan zina. Sememangnya sudah menjadi kerja syaitan untuk memberikan pemandangan cantik seorang wanita di mata lelaki supaya lelaki itu tergoda dan membangkitkan nafsu lelaki tersebut. Islam tegas dalam mencegah kejadian zina ini daripada berlarutan. Firman Allah S.W.T di dalam surah an-Nur ayat 2 yang bermaksud Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina maka pukulah mereka setiap seorang dari keduanya seratus kali pukulan dan janganlah belas kasihan kepada keduanya daripada mencegah kamu untuk menjalankan agama Allah jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah perlaksanaan hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang yang beriman. Sekiranya hukuman ini dilaksanakan di khalayak ramai maka tidak akan ada seorang pun yang berani untuk melakukan perkara seumpama ini.

...Hukum Seorang Lelaki Mengahwini Wanita Yang Berzina Denganya...

Lelaki dan wanita yang berzina apabila mereka bertaubat kepada Allah taala, dan mereka berdua hendak keluar dari perbuatan yang haram kepada yang halal, dari kehidupan yang keji kepada kehidupan yang bersih, maka perkahwinan mereka adalah sah dengan kesepakatan para ulama. Disamping kebanyakan para fuqaha tidak mensyaratkan taubat untuk menjadikan pernikahan mereka sah. Sepertimana yang diriwayatkan bahawasanya ‘Umar RA:

ضرب رجلاً وامرأة في الزنى، وحرص على أن يجمع بينهما
Maksudnya: “(‘Umar) Telah menyebat lelaki dan wanita yang berzina, dan dia menggalakkan untuk disatukan antara mereka berdua.” (1)

Ulama yang mensyaratkan taubat adalah ulama dari mazhab al-Hambali berdasarkan firman Allah taala:

الزَّانِي لا يَنْكِحُ إِلَّا زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَالزَّانِيَةُ لا يَنْكِحُهَا إِلَّا زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ وَحُرِّمَ ذَلِكَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Lelaki yang berzina tidak mengahwini melainkan perempuan yang berzina ataupun perempuan musyrik,dan perempuan yang berzina tidak mengahwini melainkan lelaki yang berzina atau lelaki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan ke atas orang-orang yang beriman.” (al-Nur: 3)

Adapun persoalan iddah, apakah wajib ke atas wanita yang berzina itu terlebih dahulu melepasi iddah ataupun tidak? Dalam perkara ini ada perbezaan pendapat di kalangan ulama fiqh.

Yang kami pilih ialah pandangan ulama-ulama mazhab Hanafi, Syafie dan al-Thauriy yang berpendapat: “Wanita yang berzina tidak ada iddah padanya. Walaupun dia hamil daripada zina. Pendapat ini diriwayatkan daripada 3 orang sahabat al-Khulafa’; Abu Bakr, ‘Umar dan ‘Ali R.’anhum. mereka berdalilkan dengan hadith:

الولد للفراش، وللعاهر الحجر
Maksudnya: “Anak itu bagi sisuami (pasangan wanita) dan bagi penzina itu adalah hukuman rejam.” (al-Bukhari dan Muslim)

Ini kerana iddah itu disyariatkan untuk membersihkan rahim sebagai memelihara nasab, sedangkan zina tidak ada kaitan dengan penthabitan nasab, maka tidak diwajibkan iddah.

Maka apabila seorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan yang hamil daripada zina bukan dengannya, sah pernikahan itu disisi Abu Hanifah dan sahabatnya Muhammad (Hasan al-Syaibani). Akan tetapi lelaki itu tidak boleh menyetubuhi wanita tersebut sehinggalah wanita itu bersalinkan anak tersebut, berdasarkan hadith:

‏لَا يَحِلُّ لِامْرِئٍ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ أَنْ يَسْقِيَ مَاءَهُ زَرْعَ غَيْرِهِ
Maksudnya: “Tidak dihalalkan bagi seorang lelaki yang beriman kepada allah dan hari akhirat, memasukkan benihnya ke ladang orang lain. (yakni wanita yang hamil bukan dari benihnya” (HR Ahmad dan Abu Daud)

Ini berbeza jika wanita itu hamil dari benihnya sendiri, maka pernikahan mereka harus dengan kesepakatan ulama-ulama mazhab Hanafi, apabila harus pernikahan mereka maka harus juga persetubuhan mereka di sisi ulama-ulama mazhan Hanafi kesemuanya, kerana benih yang ada dalam kandungan wanita itu adalah benihnya dan kehamilan itu daripadanya.

...Hukuman hudud bagi pesalah zina...

Hukum hudud yang menjadi sebahagian daripada hukum jenayah dalam islam telah dimaklumi, difahami dan diyakini oleh umat islam sejak ianya diperkenalkan oleh Rasulullah s.a.w , ia menjadi sebahagian daripada syariat Allah yang wajib diterima oleh umat islam sehingga menjadi sebahagian daripada aqidah atau iman. Betapa mendalamnya keyakinan masing-masing kepada hukum Allah ini sehingga berlakunya penjenayah hudud yang menyerah diri dengan ikrar secara sukarela dan ikhlas tanpa paksaan sedikit pun, walaupun bertaubat dalam hubungan diantara hamba dengan Allah dan memaaf dikalangan hamba lebih afdal tetapi tetap ada orang-orang yang memilih mengaku salah untuk dijatuhkan hukuman dunia kerana takut hukuman akhirat.

Definisi:
1. Hudud; (jamak bagi had) batasan atau peraturan.
2. Hukum yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T yang tidak boleh diubah-ubah oleh manusia, seperti hukum zina, murtad, minum arak dan sebagainya. [2]
3. Dari sudut bahasa hudud adalah kata jamak (plural) bagi perkataan ‘had’ bermaksud mencegah atau menyekat sesuatu, had juga bermaksud halangan. Mengikut kehendak istilah Fuqaha’ : Hudud bermaksud: Hukuman tertentu terhadap perbuatan jahat, dimana satu bentuk dan kadar hukuman keseksaan, telah ditentukan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran. Ianya wajib dilaksanakan untuk menjaga hak Allah Taala dan kepentingan masyarakat awam.[3]

...Dosa besar untuk siapa yang melakukan zina...

Setelah kita baca kisah anak saiyidina umar berzina kita perlu tahu bahawa dosa yang amat besar bagi sesiapa yang telah melakukan zina.. dan dari apa yang kita baca tadi, Saiydina Umar tidak pernah kompromi tentang hukum Allah, walaupun Abu Syahamah itu anak kandungnya sendiri. Saiyidina Umar menghukum anaknya dengan hukuman sebat 100kali tanpa belas kasihan sehinggakan anaknya mati menemui Allah s.w.t. bagi sesiapa yang di luar sana telah melakukan zina ini bertaubatlah dan jangan ulangi lagi perbuatan terkutuk itu. dan bagi sesiapa yang tidak pernah melakukan zina jangan sesekali menghampirinya..

Mungkin pada zaman ini sesiapa yang melakukan zina ini tidak takut kerana tiadanya Amirul Mukminin seperti Saiyidina Umar. tetapi kita mesti ingat setiap perkara yang kita lakukan tidak kira apa yg kita buat tu baik atau buruk tetap Allah s.w.t menyediakan ganjaran bagi sesiapa yang melakukan baik dan hukuman yang setimpal bagi sesiapa melakukan perkara terkutuk. sebenarnya dekat dunia lagi Allah s.w.t telah membalas bagi sesiapa yang melakukan zina. kerana Allah melaknat bagi sesiapa yang melakukan zina. Bukti saya mengatakan begitu kerana saya ada seorang kawan ini, dia telah melakukan zina bersama kekasihnya. pada mulanya saya sendiri tidak tahu yang kwn saya ini berzina tetapi setelah mendengar luahan hatinya barulah saya tahu. Dia mengatakan pada saya yang dia ini tidak dapat naik pangkat padahal dia sudah kerja selama 6 tahun lebih . sDia berkata lagi bahawa kwn2 nya yang lain sudahpun naik pangkat, budak yang baru masuk sebulan sudah dapat naik pangkat dan gaji yang melebihi dari gaji dia, ada sahaja masalah yang berlaku kat kwn saya ini. nsaya memberikan cadangan kepada kwn saya suruh cari kerja lain, tapi kwn saya ini mengatakan yang ibunya tidak bagi kawan saya ni cari kerja lain..pada pengamatan saya dia rajin ke masjid, sudah semestinya dia tidak pernah meninggalkan solat.

Saya musykil dengan masalah yang di hadapinya, kerana buat pengetahuan semua kawan saya ni rajin dan cekap membuat kerja, pastinya tiada masalah untuk naik pangkat bukan? jadi dengan berat hati saya menanyakan kepadanya iaitu adakah dia pernah ingkar ke atas kedua ibu bapanya? Dia kata dia patuh apa yg ibu bapanya suruh, tetapi saya tanya lagi mesti ada benda yang dia buat sampai dia jadi begini. Dengan berat hati dia menceritakan yang dia pernah berzina. saya terkejut dengan pengakuannya itu. patulah Allah s.w.t menutup pintu rezeki baginya. nasihat saya ke atasnya banyak2 kn lah bertaubat dan sekali2 ulangi perbuatan tersebut. Di dunia lagi Allah sudah membalas perbuatan kita. apatah pula diakhirat. Jadikan kisah Saiyidina Umar dan kisah sahabat saya ini sebagai tauladan. harapan kepada pembaca supaya sentiasa ingat mengingati kepada saudara kita sesama islam supaya menjauhi perbuatan keji dan mungkar


...Gambar terkini ahli nizamulusrah...



..Masjid Al-Azhar KUIS..

..............................................................................












.................................................................................


"...Segala pujian bagi Allah Rabb semesta alam. Kita memuji-Nya, memohon pertolongan, ampunan-Nya, serta meminta perlindungan kepada-Nya dari kejahatan jiwa kita dan keburukan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, tak seorangpun yang dapat menyesatkannya. Dan barangsiapa yang Allah sesatkan, tiada seorang pun yang dapat memberinya petunjuk..."




...Kisah Zina Anak Saidina Umar ibnu Khattab...

Khalifah Sayyidina Umar ibnu Khattab terkenal dengan ketegasannya dalam menjalankan hukum-hukum Allah. Dengan sebab ketegasannya itulah, orang merasa segan dan hormat kepadanya.

Sayyidina Umar mempunyai beberapa orang anak laki-laki, di antaranya ialah Abdul Rahman bin Umar. Ia juga terkenal dengan panggilan Abu Syahamah.

Suatu hari Abu Syahamah diuji oleh Allah dengan satu penyakit yang dideritainya selama kira-kira setahun. Berkat kesabaran dan usahanya akhirnya penyakit tersebut dapat disembuhkan.

Sebagai mensyukuri dan tanda gembira terlepas dari ujian Allah ini, Abu Syahamah yang sudah lama tidak keluar rumah itu menghadiri majlis jamuan besar-besaran di sebuah rumah perkampungan Yahudi atas jemputan kawan-kawannya yang juga terdiri daripada kaum Yahudi. Abu Syahamah dan kawan-kawannya berpesta sehingga lupa kepada larangan Allah dengan meminum arak sehingga mabuk.

Dalam keadaan mabuk itu, Abu Syahamah pulang melintasi pagar kaum Bani Najjar. Dia ternampak seorang perempuan Bani Najjar sedang berbaring, lalu mendekatinya dengan maksud untuk memperkosa. Apabila perempuan itu mengetahuinya dia berusaha untuk melarikan diri sehingga berjaya mencakar muka dan mengoyakkan baju Abu Syahamah. Malangnya dia tidak berdaya dan berupaya menahan Abu Syahamah yang sudah dikuasai oleh syaitan. Akhirnya terjadilah perkosaan.

Akibat perkosaan tersebut perempuan itu hamil. Setelah sampai masanya anak yang dikandung oleh perempuan itu pun lahir, lalu dibawa ke Masjid Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam untuk mengadap Amirul Mukminin bagi mengadukan hal kejadian yang menimpa dirinya. Kebetulan yang menjawat jawatan khalifah pada waktu itu ialah Sayyidina Umar ibnu Khattab.

"Wahai Amirul Mukminin, ambillah anak ini kerana engkaulah yang lebih bertanggungjawab untuk memeliharanya daripada aku."
Mendengar kenyataan tersebut, Sayyidina Umar merasa terkejut dan hairan. Perempuan itu berkata lagi: "Anak damit ini adalah keturunan darah daging anak tuan yang bernama Abu Syahamah."

Sayyidina Umar bertanya: "Dengan jalan halal atau haram?"

Perempuan itu dengan berani menjawab: "Ya Amirul Mukminin, Demi Allah yang nyawaku di tanganNya, daripada pihak aku anak ini halal dan daripada pihak Abu Syahamah, anak ini haram."

Sayyidina Umar semakin kebingungan dan tidak faham maksud perempuan Bani Najjar ini lalu menyuruh perempuan ini berterus terang.
Perempuan itu pun menceritakan kepada Sayyidina Umar peristiwa yang menimpa dirinya sehingga melahirkan anak itu.

Sayyidina Umar mendengar pengakuan perempuan itu sehingga menitiskan air mata.
Kemudian Sayyidina Umar menegaskan: "Wahai perempuan jariyah (jariyah adalah panggilan budak perempuan bagi orang Arab ) , ceritakanlah perkara yang sebenarnya supaya aku dapat menghukum perkara kamu ini dengan sebenar-benarnya dan seadil-adilnya."

Perempuan itu menjawab: "Ya Amirul Mukminin, penjelasan apa yang tuan kehendaki daripadaku? Demi Allah!, Sesungguhnya aku tidak berdusta dan aku sanggup bersumpah di hadapan mushaf al-Qur'an."

Lalu Sayyidina Umar mengambil mushaf al-Qur'an dan perempuan itu pun bersumpah bermula dari surah al-Baqarah hingga surah Yassiin. Kemudian bertegas lagi: "Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya anak ini adalah dari darah daging anakmu Abu Syahamah."
Kemudian Sayyidina Umar berkata: "Wahai jariyah! Demi Allah engkau telah berkata benar." Kemudian beliau berpaling kepada para sahabat, katanya "Wahai sekalian sahabat Rasulullah, aku berharap kamu semua tetap di sini sehingga aku kembali."
Tak lama kemudian Sayyidina Umar datang lagi sambil membawa wang dan kain untuk diberikan kepada perempuan malang itu: "Wahai jariyah, ambillah wang sebanyak tiga puluh dinar dan sepuluh helai kain ini dan halalkanlah perbuatan anakku terhadapmu di dunia ini dan jika masih ada lagi bakinya, maka ambillah sewaktu berhadapan dengan Allah nanti." Perempuan itu pun mengambil wang dan kain yang diberikan oleh Sayyidina Umar lalu pulang ke rumah bersama-sama dengan anaknya.

Setelah perempuan itu pulang Sayyidina Umar berkata kepada sahabat-sahabatnya: "Wahai sekalian sahabat Rasulullah, tetaplah kamu di sini sehingga aku kembali."
Sayyidina Umar terus pergi menemui anaknya Abu Syahamah yang ketika itu sedang menghadapi hidangan makanan. Setelah mengucap salam dia pun berkata: "Wahai anakku, hampirilah padaku dan marilah kita makan sama-sama. Tidakku sangka inilah hari terakhir bekalanmu untuk kehidupan dunia."

Mendengar perkataan ayahnya itu, Abu Syahamah terkejut seraya berkata, "Wahai ayahku, siapakah yang memberitahu bahawa inilah hari terakhir bekalanku untuk kehidupan dunia? Bukankah wahyu itu telah putus setelah wafatnya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam."

Kata Sayyidina Umar: "Wahai anakku, berkata benarlah sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Dia tidak dapat dilihat dengan pandangan mata dan Dialah Maha Luas Penglihatannya." Sambung Sayyidina Umar lagi: "Masih ingatkah engkau, hari semasa engkau pergi ke satu majlis di perkampungan Yahudi dan mereka telah memberikan kamu minum arak sehingga kamu mabuk? Kemudian dalam keadaan mabuk kamu pulang melintasi perkampungan Bani Najjar di mana engkau bertemu dengan seorang perempuan lalu memperkosanya? Berkata benarlah anakku, kalau tidak engkau akan binasa."
Abu Syahamah mendengar kenyataan ayahnya itu dengan perasaan malu sambil diam membisu. Dengan perlahan beliau membuat pengakuan: "Memang benar aku lakukan hal itu, tapi aku telah menyesal di atas perbuatanku itu."

Sayyidina Umar menegaskan: "Tiada guna bagimu menyesal setelah berbuat suatu kerugian. Sesungguhnya engkau adalah anak Amirul Mukminin tiada seorang pun yang berkuasa mengambil tindakan ke atas dirimu, tetapi engkau telah memalukan aku di hadapan sahabat Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam."
Kemudian Sayyidina Umar memegang tangan Abu Syahamah lalu membawa ke tempat para sahabat yang sudah sekian lama menunggu.

"Mengapa ayahanda melakukan ini?" Tanya Abu Syahamah.
"Kerana aku mahu tunaikan hak Allah semasa di dunia supaya aku dapat lepas daripada dituntut di akhirat kelak," jawab Sayyidina Umar dengan tegas.
Abu Syahamah dengan cemas merayu: "Wahai ayahandaku, aku mohon dengan nama Allah, tunaikanlah hak Allah itu di tempat ini, jangan malukan aku di hadapan sahabat Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam."

Jawab Sayyidina Umar: "Engkau telah membuat malu dirimu sendiri dan engkau telah menjatuhkan nama baik ayahmu."
Apabila sampai di hadapan para sahabat mereka pun bertanya: "Siapakah di belakangmu wahai Amirul Mukminin?" Jawab Sayyidina Umar: "Wahai sahabatku, sesungguhnya di belakang aku ini adalah anakku sendiri dan dia telah mengaku segala perbuatannya, benarlah perempuan yang menyampaikan khabar tadi."
Kemudian Sayyidina Umar memerintah budaknya (hambanya): "Wahai Muflih, pukullah anakku Abu Syahamah, rotanlah dia sehingga dia merasa sakit, jangan kasihani dia, setelah itu kamu aku merdekakan kerana Allah."

Muflih agak keberatan untuk melakukannya kerana khuatir tindakannya itu akan memberi mudharat kepada Abu Syahamah, tetapi terpaksa mengalah apabila diperintah oleh Sayyidina Umar. Tatkala dia memukul Abu Syahamah sebanyak sepuluh kali, kedengaranlah Abu Syahamah dalam kesakitan: "Wahai ayahandaku, rasanya seperti api yang menyala pada jasadku."
Jawab Sayyidina Umar: "Wahai anakku, jasad ayahmu ini terasa lebih panas dari jasadmu."
Kemudian Sayyidina Umar memerintah Muflih memukul sebanyak sepuluh rotan lagi. Berkata Abu Syahamah: "Wahai ayahandaku, tinggalkanlah aku supaya aku dapat mengambil sedikit kesenangan."

Jawab sayyidina Umar: "Seandainya ahli neraka dapat menuntut kesenangan, maka aku pasti akan berikan kepadamu kesenangan."
Setelah itu Sayyidina Umar menyuruh Muflih memukul Abu Syahamah sebanyak sepuluh rotan lagi. Abu Syahamah merayu: "Wahai ayahandaku aku mohon kepadamu dengan nama Allah, tinggalkanlah aku supaya aku dapat bertaubat."
Jawab Sayyidina Umar dengan pilu: "Wahai anakandaku, apabila selesai aku menjalankan hak Allah, jika engkau hendak bertaubat pun maka bertaubatlah dan jika engkau hendak melakukan dosa itu lagi pun maka lakukanlah dan engkau akan dipukul seumpama ini lagi."
Selanjutnya Sayyidina Umar menyuruh Muflih memukul Abu Syahamah sebanyak sepuluh kali sebatan lagi.

Abu Syahamah terus merayu: "Wahai ayahandaku, dengan nama Allah aku mohon kepadamu berilah aku minum seteguk air."

Sayyidina Umar menjawab dengan tegas: "Wahai anakandaku, seandainya ahli neraka dapat meminta air untuk diminum, maka aku akan berikan padamu air minum."

Perintah Sayyidina Umar diteruskan dengan meminta Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh rotan. Abu Syahamah mohon dia dikasihani: "Wahai ayahandaku, dengan nama Allah aku mohon kepadamu kasihanilah aku."

Sayyidina Umar dengan sayu menjawab: "Wahai anakandaku, kalau aku kasihankan kamu di dunia, maka engkau tidak akan dikasihani di akhirat."

Sayyidina Umar selanjutnya memerintahkan Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh kali sebatan. Abu Syahamah dengan nada yang lemah berkata: "Wahai ayahandaku, tak kasihankah ayahanda melihat keadaan aku begini sebelum aku mati?"

Sayyidina Umar menjawab: "Wahai anakandaku, aku akan hairan kepadamu sekiranya engkau masih hidup dan jika engkau mati kita akan berjumpa di akhirat nanti."

Sayyidina Umar terus memerintahkan Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh rotan. Dalam keadan semakin lemah Abu Syahamah berkata; "Wahai ayahandaku, rasanya seperti sudah sampai ajalku....."

Sayyidina Umar dengan perasaan sedih berkata: "Wahai anakandaku, jika engkau bertemu Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, sampaikan salamku kepadanya, katakan bahawa ayahandamu memukul dirimu sehingga kau mati."

Di saat yang semakin hiba ini Sayyidina Umar terus menyuruh Abu Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh kali rotan. Setelah itu Abu Syahamah dengan kudrat yang semakin lemah berusaha memohon simpati kepada para hadirin: "Wahai sekalian sahabat Rasulullah, mengapa kamu tidak meminta pada ayahandaku supaya memaafkan aku saja?"

Kemudian salah seorang sahabat pun menghampiri Sayyidina Umar dan berkatas: "Wahai Amirul Mukminin, hentikanlah pukulan ke atas anakmu itu dan kasihanilah dia."

Sayyidina Umar dengan tegas berkata: "Wahai sekalian sahabat Rasulullah, apakah kamu tidak membaca ayat Allah dalam surah an-Nuur ayat 2 ::

Image

Maksudnya:

"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. "



Mendengar penjelasan Sayyidina Umar itu, sahabat Rasulullah pun diam tidak membantah, sementara itu Sayyidina Umar terus memerintah Muflih memukul sepuluh sebatan lagi.
Akhirnya Abu Syahamah mengangkat kepala dan mengucapkan salam dengan suara yang sangat kuat sebagai salam perpisahan yang tidak akan berjumpa lagi sehingga hari kiamat.

Kemudian berkata Sayyidina Umar: "Wahai Muflih, pukullah lagi sebagai menunaikan hak Allah." Muflih pun meneruskan pukulan untuk ke seratus kalinya.

"Wahai Muflih, cukuplah pukulanmu itu," perintah Sayyidina Umar apabila melihat anaknya tidak bergerak lagi. Setelah itu Sayyidina Umar mengisytiharkan: "Wahai sekalian umat Islam, bahawasanya anakku Abu Syahamah telah pergi menemui Allah." Mendengar pengumuman itu ramailah umat Islam datang ke masjid sehingga masjid menjadi sesak. Ada di antara mereka sedih dan terharu, malah ramai yang menangis melihat peristiwa tersebut.

Menurut sumber lain, daripada Kitab Sirah Umar bin al-Khattab al-Khalifatul Rasyid umumnya masyarakat berpendapat kematian Abu Syahamah adalah disebabkan oleh pukulan rotan ayahnya sendiri Sayyidina Umar Radhiallah 'Anhu.

Setelah selesai jenazah Abu Syahamah dikebumikan, pada malamnya Ibnu Abbas Radhiallahu 'Anhuma bermimpi bertemu dengan Rasulullah Sallalllahu 'Alaihi Wasallam yang wajah baginda seperti bulan purnama, berpakaian putih manakala Abu Syahamah duduk di hadapan baginda dengan berpakaian hijau. Setelah itu Rasululah Sallallahu 'Alaihi Wasallam berkata: "Wahai anak bapa saudaraku, sampaikan salamku pada Umar dan beritahu kerpadanya bahawa Allah telah membalas setiap kebajikannya kerana tidak mencuai-cuaikan hak Allah dan suatu kebahagiaan baginya sebab Allah telah menyediakan baginya beberapa mahligai dan beberapa bilik di dalam Jannatun Na'im. Bahawa sesungguhnya Abu Syahamah telah sampai pada tingkatan orang-orang yang benar di sisi Allah Yang Maha Kuasa.

...Pergaulan Bebas Hampiri Zina...

PENYIMPANGAN dan masalah seksual, khusus di kalangan remaja semakin membimbangkan. Pergeseran kefahaman seperti dosa masing-masing tanggung, kubur masing-masing jaga, membuatkan masalah dosa dan zina sesuatu yang mula dipandang remeh.

Penyimpangan seks, iaitu zina sesuatu yang amat keji dan mesti dihindari setiap Muslim sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "...dan janganlah kamu mendekati zina sesungguhnya zina itu perbuatan yang sangat keji dan satu jalan yang sangat buruk."

Seks adalah satu anugerah Allah yang diberikan kepada manusia sebagai satu nikmat dan perhiasan kehidupan seperti juga binatang dan tumbuh-tumbuhan.

Memang patut kalau manusia ghairah seks atau berasa hendak melampiaskan keinginan seksual itu. Allah tidak melarang manusia melampiaskan hawa nafsunya selama mana cara yang dihalalkan, pada saat yang tidak terlarang dengan ikatan perkahwinan yang sah.


Nabi s.a.w seakan tidak mengaku umat terhadap mereka yang mempunyai kemampuan untuk berkahwin tetapi meninggalkannya.

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya berbunyi: "Sesiapa benci dan enggan menurut sunnahku (antaranya berkahwin), maka dia bukan dari kalanganku."

Ikatan pernikahan adalah jalan yang halal dan diiktiraf syarak untuk melepaskan kemahuan seks. Ini bererti orang yang belum berkahwin jangan cuba-cuba melepaskan seksnya.

Sebagai satu agama yang amat hebat, Islam menampilkan cara pengawalan yang sangat berkesan dalam mengatasi penyakit seksual, iaitu sebagaimana dalam firman Allah yang kita baca di atas, perkataan 'jangan kamu hampiri zina.' Kalau hampiri sudah dilarang dan ditegah, apatah lagi melakukannya.

Menghampiri bermakna apa saja perbuatan yang menjadi penyebab, pendorong, keinginan dan sebagainya, adalah haram. Kalau ada pendorong mudah datang keinginan diulit bisikan syaitan sama merelakan pula, terjadilah perbuatan terkutuk yang saban hari kita lihat dan dengar iaitu remaja melahirkan anak luar nikah.

Bayi yang tidak berdosa ditemui mati di timbunan sampah, dengan perut terburai dimakan sekumpulan anjing liar. Sudahlah berzina, amat jijik pula kezaliman terhadap bayi yang tidak tahu apa-apa.

Oleh itu, pergaulan bebas, berdua-duaan, berpimpin tangan, rapat-merapati dan berhimpit di atas motosikal adalah faktor permulaan yang kuat mendorong ke arah penyimpangan seksual.

Alam remaja adalah alam yang sangat mencabar sehingga disebut nabi dalam satu senarai orang kenamaan akhirat adalah remaja yang terselamat dan menyelamatkan diri daripada zina.

Maksud hadis: "Lelaki yang apabila diajak perempuan cantik berzina lalu berkata, "sesungguhnya aku takut kepada Allah."

Pendidikan seks menurut Barat amat berbeza dengan Islam, agama yang sangat suci ini. Masyarakat remaja Barat yang sangat bebas serta serba tidak terkawal itu hanya mengajar bagaimana mencegah supaya jangan berlaku kehamilan. Seks adalah hak peribadi yang tidak terlarang bagi mereka.

Bagi mereka hamil di kalangan remaja berlaku kerana remaja tidak tahu mengenai seks selamat, bukannya hendak berfikir mengenai salahnya berzina itu.

Pendidikan seks dalam Islam mendidik remaja bukan saja supaya tidak berzina tetapi juga supaya menjauhi sebab dan segala pendorong perzinaan.

Sebab itu mendidik mengenai syurga neraka supaya umat Islam gerun terhadap ancaman neraka dan akhirnya menolak nikmat sementara supaya terselamat api neraka yang membakar selamanya.

Langkah pencegahan menurut Islam ialah:

- Jaga pandangan mata dengan tidak melihat aurat jantina berlainan termasuk gambar serta filem pornografi.

- Tidak berdua-duaan lelaki dan wanita yang bukan mahram di tempat sunyi.

-Tidak bersentuhan kulit antara lelaki wanita termasuk bersalaman.

-Tidak bergaul bebas lelaki wanita tanpa batas.

...Zina Punca Masyarakat Berpecah Rosak Keturunan...

ISLAM menitikberatkan kesejahteraan hidup berkeluarga dengan ikatan pernikahan yang sah. Justeru, Islam melarang keras perbuatan zina kerana zina adalah jenayah dalam Islam yang banyak menimbulkan masalah kepada masyarakat dan negara.

Sesungguhnya zina boleh menyebabkan masyarakat menjadi porak-peranda dan berpecah belah, merosakkan keturunan, membawa bermacam penyakit, merosakkan kesihatan rohani dan jasmani, menghilangkan ketenangan dan mencemarkan kesucian Islam. Bahkan ia salah satu penyebab turunnya bala.

Allah berfirman yang bermaksud, Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).(Surah al-Isra’, ayat 32)

Ketahuilah, zina adalah perbuatan terkutuk, dosa besar dan haram. Di samping itu, ia kadangkala diiringi perbuatan dosa lain kerana ada antara mereka yang mengandungkan anak hasil perbuatan zina berusaha menggugurkan anak dalam kandungan.

Bagi yang gagal menggugurkan kandungan, bayi yang baru dilahirkan itu akan dibuang merata tempat seperti tempat pembuangan sampah, dalam tandas awam, tepi longkang dan ada kalanya ditinggalkan di kawasan masjid dengan tiada rasa kasih sayang atau belas kasihan.

Melakukan pembuangan bayi yang baru dilahirkan, apatah lagi jika sampai menyebabkan kematian adalah perbuatan kejam dan terkutuk. Ia termasuk kategori dosa besar yang mengakibatkan pelakunya mendapat azab pedih di akhirat kelak.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik katanya: Nabi SAW pernah menceritakan mengenai dosa-dosa besar. Baginda bersabda: Menyekutukan Allah, menderhaka kepada kedua ibu bapa, membunuh (manusia) dan berkata dengan kata-kata palsu. (Riwayat al-Bukhari di dalam Kitab Penyaksian, hadis 2459)

Selain itu, diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud katanya: Aku bertanya Rasulullah SAW: Apakah dosa yang paling besar di sisi Allah? Rasulullah SAW bersabda: Engkau menjadikan iaitu menganggap ada yang sebanding dengan Allah sedangkan Dialah yang menciptakanmu. Aku berkata: Sesungguhnya dosa demikian memang besar. Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Kemudian engkau membunuh anakmu kerana bimbang dia makan bersamamu iaitu makananmu. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Rasulullah SAW bersabda: Jika engkau berzina dengan isteri jiranmu. (Riwayat Muslim di dalam Kitab Iman, hadis 124)

Sesungguhnya Allah SWT menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Manusia dikurniakan akal dan fikiran supaya dapat menjalani kehidupan di dunia dengan sempurna serta teratur.

Tetapi agak mendukacitakan, apabila terdapat segelintir manusia bertindak di luar batas kemanusiaan sehingga sanggup melakukan perbuatan terkutuk dan berlaku kejam dengan membuang bayi yang dilahirkannya sendiri.

Bayangkanlah, binatang pun tidak melakukan perbuatan sedemikian, inikan pula manusia yang dianugerahkan akal fikiran yang sempurna. Mereka yang melakukan perbuatan itu sebenarnya telah merendahkan dan menjatuhkan martabatnya sebagai manusia yang diberi kelebihan berbanding binatang.

Selain itu, perbuatan membuang bayi juga berlaku disebabkan perlakuan sumbang mahram. Isu sumbang mahram semakin meningkat di kalangan umat Islam di seluruh dunia. Gejala itu tidak terkecuali di negara kita.

Sumbang mahram adalah perhubungan jenis secara haram antara mereka yang mempunyai pertalian darah dan tidak sah nikah (mahram), contohnya antara ayah dengan anak, abang dengan adik dan datuk dengan cucu.

Seseorang ayah atau ahli keluarga yang melakukan sumbang mahram terhadap anak atau keluarga yang tidak dihalalkan nikah itu boleh diumpamakan sebagai perlakuan haiwan. Kenapakah manusia yang dikurniakan akal fikiran sanggup bertindak seperti haiwan?

Ketahuilah bahawa anak adalah anugerah dan amanah daripada Allah SWT. Ibu bapa hanya dipertanggungjawabkan untuk menjaga, mendidik dan menyayangi, bukan untuk diabaikan atau diperlakukan mengikut sesuka hati.

Jika diamati dengan teliti, perbuatan membuang bayi banyak berpunca daripada gejala sosial iaitu pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan tanpa ikatan sah.

Adapun cara untuk mengatasi semua ini ialah dengan kembali kepada ajaran Islam. Jika seseorang itu berpegang teguh kepada ajaran Islam, pasti semua gejala akan dapat diatasi.

Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan besar dalam memberikan didikan agama kepada anak-anak. Ibu bapa perlu menguasai dan mengawasi semua perkara dilakukan anak mereka termasuk pergaulan supaya tidak terjerumus dalam gejala sosial.

Oleh yang demikian, setiap individu dan masyarakat hendaklah sama-sama membanteras perbuatan zina, sumbang mahram, membuang atau membunuh bayi demi mencapai keharmonian dan kesejahteraan hidup supaya terhindar daripada bala bencana.

Allah berfirman yang bermaksud: Dan janganlah kamu membunuh diri seorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau-lampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum syarak).(Surah al-Isra’, ayat 33)