BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, August 27, 2009

...Wanita berzina jangan salahkan teman lelaki...


MUKA hadapan Utusan Malaysia 26 Oktober 2005 melaporkan keluhan seorang perempuan yang mendakwa ia menjadi mangsa ketidakadilan Mahkamah Syariah kerana mahu menghukumnya atas kesalahan hamil luar nikah. Beliau juga kesal kerana hanya beliau sahaja yang diambil tindakan, sedangkan pasangan lelakinya masih bebas dan tidak diambil tindakan.

Isu mengenai kes ini (hamil luar nikah) pernah diperdebatkan oleh pertubuhan-pertubuhan wanita yang mengatakan tidak adil hanya perempuan sahaja di ambil tindakan.

Di sini saya ingin membuat perbandingan dengan kes rogol, hanya lelaki sahaja yang diambil tindakan. Mengikut statistik, kebanyakan kes rogol dilakukan oleh orang yang dikenali seperti teman lelaki dan sebagainya. Contohnya, bagi pasangan yang mengamalkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, mereka selalu berpeleseran sama ada di kompleks membeli belah, di disko-disko. Setelah puas berpeleseran mereka akan mencari tempat untuk bermalam. Biasanya perempuan sebegini dengan rela hati mengikut teman lelakinya untuk pulang ke rumah sewaannya atau bilik-bilik hotel.

Hubungan seksual sudah menjadi rutin kepada pasangan-pasangan sebegini. Namun begitu apabila berlaku ketegangan dan salah faham antara mereka, perempuan ini akan mendakwa ia dirogol, sedangkan mengikut fakta ia sebaliknya.

Ramai lelaki dalam kes-kes yang sedemikian yang telah disabitkan dan dihukum dengan penjara dan sebatan, manakala pasangan perempuannya pula bebas melakukan kegiatannya dengan lelaki lain pula. Sedangkan dia juga mempunyai aset yang besar yang menyebabkan ia dirogol.

Akhbar memang banyak melaporkan kes-kes begini, iaitu dirogol setelah mengikut teman lelaki, yang kadang-kadang hanya dua jam dikenali. Saya merasakan jika terdapat fakta rogol yang sebegini, perempuan juga patut dikenakan hukuman yang setimpal dengan sumbangannya menyebabkan ia dirogol. Manakala bagi kes rogol yang melibatkan paksaan atau serangan oleh lelaki, memang wajarlah mereka sahaja dihukum.

Seterusnya perempuan tersebut berasa kesal dengan tindakan Mahkamah Syariah yang dikatakan telah memburunya. Sebenarnya mahkamah tidak memburu atau menangkap orang. Ini tugas pihak penguat kuasa atau polis. Fungsi sesebuah mahkamah dalam kes jenayah ialah menerima permohonan dari pihak pendakwaan untuk mendakwa seseorang yang didapati melanggar undang-undang yang termaktub di dalam sesuatu akta atau enakmen. Pendakwa juga yang bertindak memohon saman, waran tangkap dan sapina untuk memanggil tertuduh dan saksi-saksi ke mahkamah. Mahkamah akan mendengar kes tersebut dan akan membuat keputusan.

Perempuan tersebut juga tidak boleh mempertikaikan mengapa pasangan lelakinya tidak didakwa kerana pendakwa mempunyai kuasa eksklusif untuk membuat pendakwaan atau tidak terhadap mana-mana kes. Pihak pendakwaan biasanya menapis terlebih dahulu sebelum sesuatu kes dibawa ke mahkamah.

Kes-kes yang ada kekuatan bukti sahaja yang akan dibawa, manakala kes yang kurang pembuktian akan diketepikan atau pegawai penyiasat diarah menyiasat semula. Dalam kes perempuan tersebut, pihak pendakwaan mungkin kekurangan bukti untuk mendakwa pasangan lelaki melakukan zina kerana untuk sabitan kes zina perlu empat orang saksi lelaki yang adil melihat perzinaan tersebut.

Pendakwaan tanpa syarat tersebut akan menyebabkan orang yang mendakwa pula boleh dihukum sebat 100 kali. Difahamkan juga ada dua orang lelaki terlibat dengan hubungan intim dengan perempuan tersebut. Yang mana satu telah menghamilkannya?

Namun begitu saya telah meneliti Akta/ Enakmen Jenayah Syariah. Kesalahan zina dinyatakan sebagai persetubuhan luar nikah dan hukuman maksimum hanya denda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau enam sebatan atau kombinasi mana-mana hukuman tersebut.

Pada pendapat saya, pihak pendakwaan boleh memanggil lelaki-lelaki berkenaan untuk diambil pengakuan di hadapan saksi-saksi. Jika ada pengakuan/ikrar dari lelaki-lelaki tersebut, bolehlah dilakukan pendakwaan terhadap mereka di mahkamah. Ini kerana hukuman yang dilaksanakan bukanlah melibatkan hukum hudud.

Begitu juga dengan keterangan melalui DNA dirasakan pihak pendakwaan boleh gunakan sebagai pembuktian di mahkamah untuk menentukan siapakah ayah kepada anak yang telah dilahirkan oleh perempuan itu.

Ingin saya nyatakan bahawa perempuan tersebut tidak perlu menyalahkan sesiapa di dalam hal ini. Salahkanlah diri sendiri. Pendakwaan terhadapnya atas kesalahan hamil luar nikah dibuat kerana ia kes yang prima facie (pembuktian yang jelas) yang tidak dapat disangkal, apatah lagi dengan pengakuannya sendiri yang mengamalkan pergaulan bebas.

Manakala tentang nafkah anak tersebut adalah wajib ke atas beliau menanggungnya. Lelaki yang menghamilkannya juga boleh diperintahkan membayar nafkah mengikut peruntukan di bawah seksyen 81(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pahang 1987, yang memperuntukan: Jika seseorang bapa yang disangkakan, cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tidak sah taraf, yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya, memerintahkan bapa yang disangkakan itu memberi apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh mahkamah.

Saya tidak pasti sama ada di negeri lain ada peruntukan tersebut. Kalau ada, saya nasihatkan beliau berjumpa dengan mana-mana Peguam Syarie untuk membuat tuntutan nafkah dari lelaki tersebut

0 comments: