BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, August 27, 2009

...Ibu bapa berdosa izin anak berdating...

SOALAN
BERDUA-DUAAN antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah haram. Apakah pula hukumnya ibu bapa yang mengizinkan anak perempuan mereka keluar dengan teman lelaki sama ada berjalan-jalan atau menonton wayang?

JAWAPAN
Keluar rumah bersama lelaki yang bukan mahram adalah ditegah dan hukumnya haram. Apatah lagi menonton wayang bersama teman lelaki juga adalah haram.

Perbuatan ibu bapa yang mengizin anak perempuan mereka keluar rumah bersama lelaki yang bukan mahram juga haram. Dalam hal ini kesemua yang terlibat berdosa. Lebih-lebih lagi ibu bapa yang merestui anak perempuannya melanggar perintah Allah s.w.t.

Ibu bapa sepatutnya menjadi contoh dan bertanggungjawab mendidik anak-anak mereka yang diamanahkan kepada mereka. Ibu bapa yang mengkhianati amanah ini pasti akan mendapat balasan seksa dua kali ganda kerana mereka merestui malahan menghalalkan apa yang telah jelas haram di sisi Islam.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka…. (al-Thagabun: 14).

Dalam ayat lain, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). (al-Isra’: 32).

Ibn Kathir berpendapat maksud zina di sini ialah: “Apa sahaja jalan yang membawa kepada maksiat”. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, jld:3, hlm: 55).

Dalam surah al-Thagabun Allah s.w.t. menjelaskan bahawa anak-anak itu dikurniakan kepada manusia kemudian diuji dengannya. Kadangkala anak-anak ini menjadi penawar hati kadang- kadang menjadi musuh kepada kedua- dua ibu bapanya.

Anak-anak lahir ke atas bumi ini dalam keadaan suci dan bersih seperti mana hadis Rasulullah s.a.w. menjelaskan yang bermaksud: Setiap anak Adam itu lahir ke atas bumi ini dalam keadaan fitrah (suci jiwanya ), maka ibu bapa yang menjadikan dia Nasrani, Majusi atau Yahudi… (riwayat Bukhari no. 1385).

Kesimpulannya, ibu bapa yang mencorakkan anak-anak itu menjadi seorang yang baik atau menjadi seorang derhaka kepada Pencipta dan kedua-dua ibu bapa.

Masyarakat perlu faham kadang-kadang perbuatan mereka mengundang musibah yang lebih besar. Apabila seorang lelaki mendampingi seorang wanita yang bukan mahram makhluk yang ketiga yang bersama mereka ialah syaitan.

Tugas syaitan yang dimaklumi ialah sentiasa membisikkan kejahatan dan kemungkaran dalam telinga anak Adam. Berdua-duaan antara lelaki dan perempuan adalah seperti kapas yang berhampiran dengan api, bila-bila masa boleh terbakar. Akhirnya, si anak perempuan terdedah kepada zina. Mungkin juga membawa pulang perut yang berisi anak luar nikah sebagai ‘hadiah’ yang paling istimewa kepada kedua ibu bapanya yang merestui perbuatan anaknya. Ketika itu, ‘nasi sudah menjadi bubur, arang sudah disapu ke muka.’ Yang paling berharga bagi manusia juga sudah tercemar iaitu maruah keluarga.

Justeru, Islam meletakkan kaedah ‘menghalang daripada berlakunya sesuatu yang tidak baik adalah lebih baik daripada merawat’. Ingatlah sesungguhnya menjaga dan membesarkan anak perempuan adalah lebih besar tanggungjawabnya kerana menjaga mereka seperti menggenggam bara api.

Nabi s.a.w. menjanjikan syurga bagi ibu bapa yang mempunyai dua orang nak perempuan atau lebih dengan balasan syurga. Balasan itu bersyarat. Syaratnya mesti mendidik mereka dengan agama, ajarkan mereka akhlak yang mulia, apabila mereka dewasa, kahwinkan mereka dengan lelaki yang soleh.

...Pandangan Syeikh Abdul Ghafur bin Abbazs Al-Maduri mengenai zina...

Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura memulai perkara ini dengan katanya, “Ketahui olehmu bahawasanya zina itu, iaitu dosa besar, tiada di bawah kufur dan menyekutui Allah s.w.t daripada dosa yang terlebih besar daripada zina. Hingga direjam yang berbuat dia ...”. Dalam fasal mengenai ini sekali gus serba ringkas disentuh juga tentang ancaman memakan harta riba dan zalim tidak menjalankan hukum menurut yang sebenar, diperintah oleh Allah s.w.t.

...Statistik Anak Luar Nikah (zina ) di Malaysia 2000-2007...

downloadhh

Mengikut pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara dari tahun 2000-2007, ada sebanyak 257,411 sijil kelahiran yang didaftarkan tanpa dicatatkan nama bapa. Ia dikeluarkan sedemikian rupa sebab anak-anak berkenaan tidak mempunyai sah taraf atau anak luar nikah.

Ia juga telah disahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika menjawab soalan lisan R. Sivarasa (PKR Subang) semasa sesi soal jawab Dewan Rakyat pada 29hb Oktober 2008 untuk mengesahkan perkara ini. Kata beliau, selaras dengan peruntukan Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 atau Akta 229, yang tidak membenarkan pendaftar mencatat nama bapa pada sijil kelahiran bagi anak-anak tidak sah taraf atau luar nikah kecuali atas permintaan bersama ibu dan orang yang mengaku dirinya sebagai bapa.

Bagi saya angka yang melebihi 200 ribu dalam masa tujuh tahun yang singkat itu adalah cukup banyak. Itu tidak termasuk dengan anak luar nikah yang dibenarkan didaftar di bawah nama orang yang mengaku ayah atas dasar persetujuan bersama. Mungkin ada langkag-langkah pencegahan yang boleh saya cadangkan?

A. Langkah-langkah menjauhi kelahiran anak luar nikah:

  1. Jangan buat seks luar nikah dan seks bebas, jadi tak adalah peluang nak buat anak kan?

  2. Kalau gatal sangat nak buat, belajar pendidikan seks untuk melakukannya dengan selamat.

B. Bagaimana cara nak elakkan seks bebas dan seks luar nikah?

  1. Bernikah. Nanti dapatlah anak dalam nikah. Betul tak?

  2. Tak payah jumpa or keluar bersosial dengan bukan muhrim terlalu banyak. Jadi pendedahan dengan orang asing akan berkurangan.

  3. Masih boleh terdedah dengan dunia luar jika pandai mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah seperti menulis blog, membaca dan memancing. Bukan merempit atau berdisko.

  4. Ibu bapa perlu beri perhatian dan kasih sayang pada anak-anak sebab anak yang kekurangan kasih sayang akan menagih kasih sayang yang melampau-lampau dari orang asing. Pegang dan sentuh anak di hati, insyaallah di mana saja dia berada, kasih sayang ibu bapa akan dikenangi.

  5. Pilihlah kawan yang baik-baik, pergaulan yang sihat, persekitaran yang ‘bersih’ dan terkawal. Ni kalau semua kawan terlalu bebas dan bermasalah, lama-lama iman yang kuat pun boleh terhakis. Environment sangat penting!!

C. Bagaimana kalau dikecam untuk berpisah jika jarang bertemu kekasih?

  1. Berpisahlah dan cari pasangan yang baik, yang kurang gatal, yang setia, dan paling penting tidak membuatkan kita lalai dengan tanggungjawab kita. Carilah pasangan yang berkemampuan untuk menghubungi anda di telefon, sms, mms, 3G dan apa saja method lain sekiranya tidak bertemu. Jikalau tidak, dia sekurang-kurangnya mampu merancang pertemuan yang penuh tatasusila dan berhemah.

Ini akan membawa kepada beberapa kesan:

  1. Apabila dia seorang yang baik dan memahami, dia boleh menerima dengan redha (tanpa buat perangai) apabila anda tidak mahu selalu bertemu dengannya selagi belum menjadi pasangan yang sah. Ini baik untuk jangka masa panjang!

  2. Meningkatkan kreativiti anda kerana dapat merancang pertemuan-pertemuan yang lebih bertatasusila daripada sekadar bertemu di atas katil, belakang tangga atau dalam kereta.

  3. Dia akan cepat-cepat nak jadikan anda pasangannya yang sah sebab dia tahu anda seorang insan yang baik dan beriman yang masih setia walaupun pasangan jauh dari mata dan pada masa sama tak tahan lagi menanggung rindu. Kalaulah masa bercinta hari-hari dia dah ‘dapat’, dia tak heran pun nak jadikan anda pasangan yang sah. Iyalah, tak jadi laki bini pun dah rasa, hurm.baik tak payah kahwin.

D. Anda tak boleh buat jugak sebab pasangan tidak macam itu dan anda sendiri bosan jika kurang bertemu?

  1. Carilah yang baik seumpama itu, if not tak payah bercinta Lagipun, tak berbaloi pun untuk kamu teruskan dengan pasangan yang sedia ada sebab asyik-asyik nak jumpa atas katil je. Perangai di luar katil kamu langsung tak tahu. Macam mana nak buat laki or bini?

  2. Tambah pengetahuan dan tingkatkan kematangan dalam ilmu bercinta, ilmu kekeluargaan dan ilmu agama, barulah anda dapat mengubah status hubungan daripada “teman tidur” kepada “teman hidup”

  3. Ubahlah diri sendiri dulu sebelum hendak mengubah pasangan. Lelaki yang baik untuk perempuan baik, dan begitulah sebaliknya.

Kesimpulannya, hanya anda mampu mengubahnya!! Ini sekadar my suggestion, anda boleh fikirkan cara lain yang memadai dengan cara anda!!

...Dosa liwat lebih besar daripada zina...


``HUKUM perbuatan jenayah liwat lebih besar dosanya di sisi Allah s.w.t daripada perbuatan jenayah zina,'' demikian Pegawai Pendidikan, Jabatan Bahasa Al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa, Ustaz Wan Shohor Bani Leman.

Dari segi pelaksanaan hukuman syarak, menurutnya, ia adalah sama seperti mereka yang telah melakukan perbuatan jenayah zina.

``Bagi mereka yang telah berkahwin akan direjam sampai mati.

``Manakala mereka yang masih bujang dikenakan 100 kali sebatan dan dibuang negeri selama setahun ataupun boleh juga digantikan dengan 100 sebatan dan penjara setahun,'' katanya.

Ini berdasarkan kepada apa yang pernah dilaksanakan sendiri oleh Rasulullah s.a.w ketika menjatuhkan hukuman ke atas seorang lelaki bujang berzina, disebat 100 kali dan dihalau selama setahun dari negerinya.

Menurut beliau, walaupun tidak disebut dengan jelas tentang hukuman jenayah liwat di dalam al-quran, tetapi hukuman bagi perbuatan jenayah itu tetap dijalankan sebagaimana hukuman yang dikenakan kepada penzina mengikut pandangan mazhab syafie.

Wan Shohor Bani menarik perhatian, liwat bukanlah satu perkara baru, malah kegiatan itu telah wujud sejak zaman Nabi Luth a.s lagi.

Masyarakat pada zaman itu tambahnya, telah mengiktiraf perbuatan tersebut sebagai satu budaya hidup mereka biarpun mereka sendiri sebenarnya amat memahami dan mengetahui bahawa ia (liwat) dianggap kotor dan menjijikkan.

``Sebab itulah Allah s.w.t telah menjatuhkan hukuman yang amat dahsyat sekali ke atas mereka,'' katanya.

Beliau menegaskan, kejadian seumpama itu berlaku disebabkan kurangnya iman di dada dan kegagalan mengawal hawa nafsu yang terhasil daripada sikap umat Islam kita sekarang ini yang kurang membaca dan memahami isi kandungan al-quran.

``Sebagai manusia yang berakal kita sepatutnya dapat membezakan antara yang baik dan buruk sekalipun mungkin tidak yang halal dan yang haram mengikut hukum syarak,'' ujarnya.

Ini kerana jika diperhatikan dalam alam haiwan (makhluk Allah s.w.t yang tidak mempunyai akal seperti manusia), tidak berlaku perbuatan yang jantan mendatangi yang jantan mahupun yang betina mendatangi jenis yang sama.

Mengulas kejadian yang berlaku, di mana kalangan kanak-kanak menjadi mangsa perbuatan tersebut, beliau berkata, ia adalah sesuatu yang amat zalim, keji dan tidak berperikemanusiaan.

Malah katanya, perbuatan tersebut tidak hanya merosakkan fizikal tetapi juga mental sekali gus memusnahkan masa depan mangsa.

Beliau turut mengakui cabaran yang terpaksa dihadapi oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak lelaki adalah sama sebagaimana mendidik anak-anak perempuan.

``Bahkan dengan kebebasan yang tak bersempadan kadangkala menjaga dan menguruskan anak lelaki jauh lebih susah berbanding dengan anak perempuan,'' tegasnya.

Ini kerana kata Wan Shohor Bani, jika anak perempuan itu tidak terdidik mereka mungkin akan menjadi mangsa keadaan.

``Sebaliknya jika anak lelaki tidak terdidik, dia bukan sahaja terdedah menjadi mangsa bahkan lebih jauh daripada itu, dia boleh bertindak ganas menjadi pemangsa yang tidak mengira batas-batas agama dan nilai-nilai murni peradaban manusia,'' katanya.

Inilah punca katanya, anak-anak lelaki pada hari ini tidak terlepas daripada menghadapi bahaya dan ancaman berbentuk seksual seperti liwat.

Dalam Islam sendiripun kata Wan Shohor Bani, telah menjelaskan mengenai batas-batas pergaulan anak-anak sama ada anak perempuan dan lelaki begitu juga sesama anak lelaki.

``Berdasarkan sunnah, apabila usia anak memasuki 10 tahun, kamu kena pisahkan tempat tidur anak lelaki dan anak perempuan, bahkan antara anak lelaki dengan anak lelaki yang lain berkongsi dalam satu selimut juga tidak dibenarkan,'' katanya.

Beliau menambah ibu bapa perlu memberi pendidikan secara asas kepada anak-anak mengenai hukum-hakam serta halal haramnya sesuatu perbuatan itu.

Katanya, ibu bapa perlu menerangkan kepada anak-anak tentang pendidikan seks agar mereka boleh mengetahui batas sempadan yang sepatutnya.

Ini tidak hanya termasuk hubungan berlainan jenis dengan suami atau isteri tetapi juga hubungan sesama jenis.

``Ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab mendidik anak-anak dengan bijak bagi memastikan mereka tidak terjerumus ke lembah yang boleh merosakkan diri, keluarga, agama, bangsa dan negara,'' katanya.

Tambah beliau, kejadian seumpama yang berlaku membayangkan kepincangan kehidupan sesebuah masyarakat lebih-lebih lagi bagi mereka yang terlibat.

...Homoseks sama seperti zina...

Bersama:KAMIL MAJID
SOALAN: Apakah hukum lesbian dan gay, kerana ia semakin menjadi di kalangan anak-anak muda Melayu Muslim di Malaysia. Bolehkah diberikan penjelasan? Di samping itu minuman arak juga banyak berlaku di kalangan anak muda Melayu. Apa pendapat tuan?


JAWAPAN: Saya cukup terkejut dengan soalan ini. Kenapa kejadian seperti ini menjadi-jadi? Sedangkan Malaysia salah sebuah negara yang menjadikan mata pelajaran Agama sebagai wajib di sekolah rendah hingga ke sekolah menengah? Beribu guru agama dilantik setiap tahun. Setahu saya sukatan pelajaran agama juga cukup tinggi.

Apa pun, persoalan ini pertamanya harus dipertanyakan kepada setiap ibu bapa, sejauh manakah mereka bertanggungjawab dalam mendidik anak-anak remaja mereka? Atau mereka hanya melepas tangan atas alasan tanggungjawab telah diberikan kepada guru-guru khususnya guru agama di sekolah-sekolah.

Adalah menjadi kesalahan kepada para ibu bapa yang tidak memberikan pendidikan yang mencukupi kepada anak-anak, oleh sebab tugas ini adalah tugas asasi mereka. Mereka bukan sahaja wajib memberikan makan minum dan tempat tinggal, malah memberikan didikan sempurna.

Adapun guru adalah memberikan bantuan bagi membimbing pendidikan yang lebih cemerlang. Allah s.w.t. pernah mengingatkan ibu bapa agar menjaga anak- anak mereka daripada tercebur ke dalam api neraka.

Tugas guru menjadi pembimbing tambahan tidak juga penting. Meskipun tugas mengajar itu hukumnya fardu kifayah, tetapi apabila mereka memilih kerjaya itu sudah menjadi fardu ain ke atas diri mereka.

Akan dipersoalkan nanti, apakah mereka benar-benar ikhlas mendidik anak bangsa atau hanya sekadar makan gaji sahaja? Justeru itu dalam bidang pendidikan memerlukan semua peringkat ikhlas, bukan hanya sekadar mengejar kelulusan tinggi peratus murid dan setakat menghabiskan kurikulum sahaja. Lebih penting menjamin anak-anak didik melaksanakan apa yang dipelajari.

Pengetua, pengurus dan PIBG semua bertanggungjawab hinggakan kepada menteri yang dipertanggungjawab.

Akhlak buruk seperti lesbian (hubungan sejenis sesama perempuan) dan gay (hubungan sesama sejenis lelaki) hukumnya sama dengan hukum zina juga.

Menerima

Saya banyak menerima pertanyaan seperti soalan di atas, terutama selepas artikel dalam ruangan ini berjudul: Kahwin Selepas Zina. Pada kesimpulannya, saya membuat andaian, masyarakat kita hari ini begitu ramai terjebak dengan maksiat zina, rogol, penderaan di rumah, suami makan luar, isteri simpan lelaki dan pelbagai lagi.

Ini semua menggambarkan iman yang sudah hampir malah memang hancur. Akhlak yang runtuh. Apalagi perbuatan minum minuman keras yang sudah menjadi trend baru selepas agak lama tidak kedengaran.

Pada saya selain ibu bapa yang harus mengambil berat hal anak-anak, pihak pembuat polisi dan menteri-menteri yang dilantik dalam beberapa kementerian termasuk pelajaran, belia, wanita dan lain-lain seharus melihatnya secara yang lebih bertanggung- jawab.

Berbalik kepada homoseks dan lesbian ini ia bertentangan dengan fitrah manusia dan merosakkan kemaslahan manusia sedunia. Al-Quran menggambarkan perbuatan kaum Nabi Lut itu sebagai fasiq, jahat dan melampaui batas. Sehingga bumi diterbalikkan oleh kemurkaan Allah.

Oleh itu, negara di mana di dalamnya diamalkan jenayah zina, homoseks dan lesbian ini perlu berhati-hati sebelum ditimpa bencana musibah. Dari segi hukuman pula maka hukuman ke atas mereka serupa juga dengan hukuman terhadap penzina.

Meminum arak juga salah satu dosa besar. Maka ruangan ini mengajak semua pihak yang terlibat dengan semua dosa besar ini agar segera bertaubat. Pintu taubat selalu terbuka untuk mereka.

Di samping itu masyarakat harus memainkan peranan masing-masing. Ibu bapa harus membawa anak mereka yang terjebak ke dalam kancah ini berjumpa dengan mereka yang lebih tahu termasuk pakar psikologi atau pakar-pakar lain termasuk ahli agama untuk membincangkannya.

Para pengurus sekolah juga lebih bertanggungjawab. Demikian juga para pengurus asrama.

Kita semua tidak harus memandang kecil dan remeh perkara di atas. Para pemimpin juga harus memberi teguran yang baik, tidak hanya bercakap soal pembangunan fizikal dan kemajuan. Apa yang akan dicapai kemajuan dan wawasan 2020, jika akhlak masyarakatnya rosak seperti apa yang dialami di Barat. Bukankah umat Islam mempunyai acuan kemajuan sendiri, bukannya menjadi pak turut Barat.

Kepada para pemimpin yang baru dipilih, bertakwalah kepada Allah. Jangan menyombong diri dengan kuasa yang ada. Jangan lupa daratan dengan sedikit kemewahan dunia. Azab Allah lebih pedih dari segalanya dan neraka itu amat mengerikan. Hisablah diri kita semua sebelum kita dihisab di akhirat nanti. Wallahualam.