BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, August 27, 2009

...Dosa liwat lebih besar daripada zina...


``HUKUM perbuatan jenayah liwat lebih besar dosanya di sisi Allah s.w.t daripada perbuatan jenayah zina,'' demikian Pegawai Pendidikan, Jabatan Bahasa Al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa, Ustaz Wan Shohor Bani Leman.

Dari segi pelaksanaan hukuman syarak, menurutnya, ia adalah sama seperti mereka yang telah melakukan perbuatan jenayah zina.

``Bagi mereka yang telah berkahwin akan direjam sampai mati.

``Manakala mereka yang masih bujang dikenakan 100 kali sebatan dan dibuang negeri selama setahun ataupun boleh juga digantikan dengan 100 sebatan dan penjara setahun,'' katanya.

Ini berdasarkan kepada apa yang pernah dilaksanakan sendiri oleh Rasulullah s.a.w ketika menjatuhkan hukuman ke atas seorang lelaki bujang berzina, disebat 100 kali dan dihalau selama setahun dari negerinya.

Menurut beliau, walaupun tidak disebut dengan jelas tentang hukuman jenayah liwat di dalam al-quran, tetapi hukuman bagi perbuatan jenayah itu tetap dijalankan sebagaimana hukuman yang dikenakan kepada penzina mengikut pandangan mazhab syafie.

Wan Shohor Bani menarik perhatian, liwat bukanlah satu perkara baru, malah kegiatan itu telah wujud sejak zaman Nabi Luth a.s lagi.

Masyarakat pada zaman itu tambahnya, telah mengiktiraf perbuatan tersebut sebagai satu budaya hidup mereka biarpun mereka sendiri sebenarnya amat memahami dan mengetahui bahawa ia (liwat) dianggap kotor dan menjijikkan.

``Sebab itulah Allah s.w.t telah menjatuhkan hukuman yang amat dahsyat sekali ke atas mereka,'' katanya.

Beliau menegaskan, kejadian seumpama itu berlaku disebabkan kurangnya iman di dada dan kegagalan mengawal hawa nafsu yang terhasil daripada sikap umat Islam kita sekarang ini yang kurang membaca dan memahami isi kandungan al-quran.

``Sebagai manusia yang berakal kita sepatutnya dapat membezakan antara yang baik dan buruk sekalipun mungkin tidak yang halal dan yang haram mengikut hukum syarak,'' ujarnya.

Ini kerana jika diperhatikan dalam alam haiwan (makhluk Allah s.w.t yang tidak mempunyai akal seperti manusia), tidak berlaku perbuatan yang jantan mendatangi yang jantan mahupun yang betina mendatangi jenis yang sama.

Mengulas kejadian yang berlaku, di mana kalangan kanak-kanak menjadi mangsa perbuatan tersebut, beliau berkata, ia adalah sesuatu yang amat zalim, keji dan tidak berperikemanusiaan.

Malah katanya, perbuatan tersebut tidak hanya merosakkan fizikal tetapi juga mental sekali gus memusnahkan masa depan mangsa.

Beliau turut mengakui cabaran yang terpaksa dihadapi oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak lelaki adalah sama sebagaimana mendidik anak-anak perempuan.

``Bahkan dengan kebebasan yang tak bersempadan kadangkala menjaga dan menguruskan anak lelaki jauh lebih susah berbanding dengan anak perempuan,'' tegasnya.

Ini kerana kata Wan Shohor Bani, jika anak perempuan itu tidak terdidik mereka mungkin akan menjadi mangsa keadaan.

``Sebaliknya jika anak lelaki tidak terdidik, dia bukan sahaja terdedah menjadi mangsa bahkan lebih jauh daripada itu, dia boleh bertindak ganas menjadi pemangsa yang tidak mengira batas-batas agama dan nilai-nilai murni peradaban manusia,'' katanya.

Inilah punca katanya, anak-anak lelaki pada hari ini tidak terlepas daripada menghadapi bahaya dan ancaman berbentuk seksual seperti liwat.

Dalam Islam sendiripun kata Wan Shohor Bani, telah menjelaskan mengenai batas-batas pergaulan anak-anak sama ada anak perempuan dan lelaki begitu juga sesama anak lelaki.

``Berdasarkan sunnah, apabila usia anak memasuki 10 tahun, kamu kena pisahkan tempat tidur anak lelaki dan anak perempuan, bahkan antara anak lelaki dengan anak lelaki yang lain berkongsi dalam satu selimut juga tidak dibenarkan,'' katanya.

Beliau menambah ibu bapa perlu memberi pendidikan secara asas kepada anak-anak mengenai hukum-hakam serta halal haramnya sesuatu perbuatan itu.

Katanya, ibu bapa perlu menerangkan kepada anak-anak tentang pendidikan seks agar mereka boleh mengetahui batas sempadan yang sepatutnya.

Ini tidak hanya termasuk hubungan berlainan jenis dengan suami atau isteri tetapi juga hubungan sesama jenis.

``Ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab mendidik anak-anak dengan bijak bagi memastikan mereka tidak terjerumus ke lembah yang boleh merosakkan diri, keluarga, agama, bangsa dan negara,'' katanya.

Tambah beliau, kejadian seumpama yang berlaku membayangkan kepincangan kehidupan sesebuah masyarakat lebih-lebih lagi bagi mereka yang terlibat.

0 comments: