BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, August 27, 2009

...Jalan keluar bagi pasangan yang sudah terlanjur - Anak zina dibin pada bapa...

Hanya dua jalan keluar sahaja yang disering digunakan untuk masalah anak zina di Malaysia. Pertama, menjadikan seseorang anak zina itu berbin/binti Abdullah dan mana-mana nama Allah yang dipanggil al-Asma'u al-Husna. Jalan keluar yang pertama ini dianggap sah dari segi hukum agama walaupun bukan dianggap terbaik. Kedua, mencampak atau membuangkan anak zina di tepi jalan, dalam longkang dan tong sampah. Jalan keluar kedua ini pula dianggap haram dan tidak sah dari hukum agama.

Beberapa jalan keluar lain yang juga dianggap sah dari segi hukum agama dan mungkin dianggap lebih baik daripada mengebinkan anak zina dengan Abdullah atau mana-mana nama Allah al-Husna yang lain, tetapi ia tidak digunakan oleh orang Islam di Malaysia. Demikian itu kerana orang Malaysia lebih suka berpegang dengan hukum fikah yang bersifat satu pandangan dan satu mazhab. Mereka tidak mahu terbuka kepada pandangan-pandangan dan mazhab-mazhab yang lain.

Dua daripada jalan keluar itu akan dibincang secara terperinci di bawah ini.

Berdasar kepada perangkaan tahun 2001, Malaysia mempunyai 53,309 anak zina atau anak tidak sah taraf. Jumlah itu didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) antara tahun 1999 hingga tahun 2001. Ia bukan angka kecil yang boleh dipandang remeh. Penulis tidak mempunyai perangkaan mutakhir, tetapi sudah tentu ramai juga yang didaftar sepanjang tahun lalu dan sehingga empat bulan pertama tahun ini.

Mungkin ramai juga anak zina tidak didaftar dengan JPN. Begitu juga jumlah anak zina yang dicampak atau ditinggalkan di tepi jalan, tepi masjid, di dalam longkang, tong sampah dan lain-lain.

Apakah semua yang dianggap anak zina itu benar-benar anak zina? Mungkin ada di antara ribuan anak zina yang didaftar atau tidak didaftar dengan JPN atau yang dicampak atau ditinggalkan di tepi jalan, di tepi masjid, dalam longkang dan tong sampah itu sebenarnya bukan anak zina atau boleh dipulih taraf menjadi anak yang sah dari segi hukum syarak. Tetapi mereka yang terlanjur tidak mengetahui perkara itu dan mengambil tindakan yang tidak tepat dengan memangsakan anak mereka.

Sebagai contoh seorang gadis hamil kerana terlanjur dengan tunangnya. Pasangan ini pula tidak mengambil tindakan yang tepat untuk menyelesaikan dilema yang dihadapi. Sepatutnya si gadis yang hamil itu dan tunangnya terus melangsungkan perkahwinan. Tetapi kerana mereka kurang pengetahuan tentang hukum agama serta malu atau takut kepada keluarga, maka mereka membiarkan masalah yang boleh diatasi (hamil) dengan mudah itu menjadi masalah besar (kelahiran anak zina) yang sukar diatasi. Padahal Islam mempunyai jalan keluar bagi menyelesaikan masalah anak yang terhasil daripada perbuatan zina menjadi anak yang sah taraf dari segi hukum syarak.

Salah satu jalan keluar yang diakui dan diguna pakai di Malaysia ialah lelaki dan wanita yang terlanjur mesti berkahwin secepat mungkin dan anak yang lahir melebihi tempoh enam bulan dalam kandungan selepas mereka berdua berkahwin adalah anak yang sah taraf dari segi hukum syarak. Anak mereka berdua itu bukan lagi anak zina walaupun terhasil daripada perbuatan zina mereka.

Apakah orang-orang yang telah terlanjur mengetahui ada jalan keluar seperti ini?

Penulis membentangkan di sini salah satu lagi jalan keluar untuk menyelesaikan masalah orang yang terlanjur itu dan sekali gus dapat menyelamatkan ramai anak zina. Untuk membentangkan jalan keluar yang luas ini, penulis merujuk kepada fatwa ulama pembangkang Mesir terkenal, Dr. Yusuf Al-Qaradawi dan beberapa kitab ulama zaman silam di mana penulis menyebut nama kitab-kitab berkenaan serta nombor juz dan nombor muka suratnya supaya mudah dirujuk oleh sesiapa saja yang ingin mendapat ilmu secara lebih terperinci.

Dr. Al-Qaradawi dalam fatwanya berkata, anak zina boleh dibin kepada bapanya dan dia dianggap anak yang sah dan mendapat segala hak yang ditetapkan oleh hukum syarak jika bapanya berkahwin dengan ibunya. Beliau tidak menganggap anak perlu berada dalam kandungan ibu yang terlanjur selama melebihi enam bulan sebelum dia diijabkabulkan dengan pasangannya seperti kata ulama-ulama lain.

Fatwa yang agak janggal di Malaysia ini bukan sama sekali fatwa baru yang diijtihad oleh Dr. Al-Qaradawi, tetapi ia merupakan fatwa lama yang merujuk kepada Rasulullah s.a.w., beberapa orang sahabat, tabii dan ulama terdahulu (salaf) dan terkemudian (khalaf).

Bagaimanapun, fatwa ini tidak diguna pakai langsung di Malaysia. Sebaliknya yang diguna pakai ialah fatwa yang memperuntukkan bahawa anak yang lahir dari ibu yang hamil melebihi tempoh enam bulan setelah dia diijabkabulkan dengan lelaki yang terlanjur dengannya adalah anak sah taraf.

Dalam erti kata lain jika seorang wanita terlanjur dengan seorang lelaki dan hamil tiga bulan atau lebih tiga bulan, kemudian dia diijabkabulkan dengan lelaki itu, maka anak yang dilahirkan dianggap anak mereka yang sah dari segi hukum syarak.

Namun begitu terdapat cerdik pandai agama kita yang tidak menerima fatwa yang membolehkan anak yang lahir daripada ibu yang hamil melebihi enam bulan itu sebagai anak yang sah. Sebaliknya mereka berkata, anak hasil perbuatan zina antara lelaki dan wanita itu tetap dianggap anak zina walaupun mereka berkahwin secara sah tiga bulan selepas mereka terlanjur.

Perkahwinan

Secara harfiah Dr. Al-Qaradawi dalam fatwanya berkata, penzina lelaki dan penzina wanita jika mereka berdua bertaubat kepada Allah dan menghendaki keluar daripada haram kepada halal, keluar daripada kehidupan yang kotor kepada kehidupan yang bersih dan mahu mengubah kehidupan mereka berdua daripada zina yang diharamkan untuk hidup dalam kehalalan, maka perkahwinan mereka berdua dianggap sah (oleh ulama) secara ijmak (konsensus). Kebanyakan (jumhur) ulama fikah tidak menjadikan taubat sebagai syarat kesahan berkahwin dengan penzina wanita seperti diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab di mana dia telah memukul (iaitu mengenakan hukum sebat ke atas) seorang lelaki dan seorang wanita dalam kes zina dan dia (Umar) mengambil berat untuk mengumpul (mengahwinkan) mereka berdua.

Cuma ulama mazhab Hanbali sahaja yang meletakkan syarat bertaubat dan mereka berhujah dengan firman Allah: (an-Nur: 3) Lelaki yang berzina tidak berkahwin kecuali wanita yang berzina atau wanita yang musyrik; dan wanita yang berzina tidak berkahwin melainkan dengan lelaki yang berzina atau lelaki yang musyrik; dan yang demikian itu diharam ke atas orang-orang yang beriman.

Mengenai tindakan mengebin atau menasabkan anak zina, Dr. al-Qaradawi berkata, beberapa orang fuqaha Salaf seperti `Urwah bin az-Zubeir, al-Hasan al-Basri, Ishaq bin Rahawaih dan lain-lain mengharuskan istilhaq (menggabung/mengebin/menasabkan) anak zina kepada lelaki yang mendakwanya jika wanita (yang berzina dengan lelaki itu) bukan isteri orang kerana belum pernah berkahwin atau telah diceraikan atau seorang janda.

Dr. Al-Qaradawi mengutip pandangan Ibn Taimiah dan Ibn Al-Qaiyyim untuk berhujah tentang perkara itu. Beliau berkata, Ibn Taimiah dan muridnya Ibn Al-Qaiyyim mentarjih (mengutama dan menguatkan) pandangan tersebut. Ibn Al-Qaiyyim selepas menyebut hadis: Anak adalah bagi katil dan bagi lelaki pelacur adalah hajar. Yang dimaksudkan dalam hadis anak adalah bagi katil ialah mengikut apa yang berlaku di atas katil antara lelaki dan wanita yang berkahwin secara sah atau antara lelaki dan hamba wanita yang dimiliki.

Manakala yang dimaksudkan dalam hadis: Bagi lelaki pelacur adalah hajar ialah bagi lelaki yang mengadakan hubungan seks secara haram adalah batu, iaitu kena rejam dengan batu atau tidak dapat apa-apa termasuk anak seolah-olah dia hanya dapat biji-biji batu dan pasir yang tidak berharga. Lihat Syarh an-Nawawi Ala Sahih Muslim, juz 10, muka surat 37.

Ibn Al-Qaiyyim berkata, menurut Dr. Al-Qaradawi jika dikatakan hadis itu menjadi dalil hukum mengistilhaq (menggabung/mengebin dan menasabkan) anak pemilik katil (iaitu suami), maka apa pula akan dikatakan jika penzina mengistilhaq (menggabung/mengebin dan menasabkan) anak yang bukan katil?

Terdapat orang yang menentang, apakah disambungkan anak zina itu dengan nasab lelaki dan disabitkan hukum nasab ke atasnya? Katanya masalah ini merupakan masalah yang jelas di mana ulama berbeza pandangan tentangnya. Ishaq bin Rahawaih menganggap anak kelahiran dari perbuatan zina jika tidak dilahir atas katil yang didakwa dimiliki oleh seseorang dan penzina mendakwa anak itu adalah anaknya, disambungkan anak zina itu kepadanya. Ishaq bin Rahawaih mentakwilkan sabda Nabi s.a.w.: Anak adalah bagi katil, yang digunakan untuk menyelesaikan masalah perbalahan antara penzina dengan pemilik katil. Itulah mazhab Al-Hasan Al-Basri yang meriwayatkan daripadanya Ishaq bin Rahawaih dengan sanadnya mengenai seorang lelaki berzina dengan seorang wanita dan wanita itu melahirkan seorang anak lelaki, maka lelaki itu mendakwa anaknya.

Al-Hasan Al-Basri berkata: ``Lelaki disebat dan anak dipertanggungjawab kepadanya.'' Ia juga mazhab `Urwah bin Az-Zubeir dan Sulaiman bin Yasar yang diriwayat mereka berkata: ``Mana-mana lelaki datang kepada budak dan mendakwa ia merupakan anak dan dia berzina dengan emaknya dan tidak mendakwa budak itu ke atas sesiapa, ia (budak) adalah anaknya.

Sulaiman bin Yasar berhujah bahawa Umar bin Al-Khattab menggabungkan anak-anak orang jahiliah dengan mereka yang mendakwa sebagai anak mereka dalam Islam. Mazhab ini adalah kuat dan jelas.

Untuk menyokong fatwa Dr. Al-Qaradawi itu penulis merujuk kepada pandangan Imam Asy-SyafiI dalam kitab al-Umm (al-Umm, juz 6, muka surat 197) di mana beliau berkata, Rasulullah s.a.w. menghukum dengan katil (iaitu mengikut apa yang berlaku di atas katil antara lelaki dan wanita yang berkahwin secara sah atau antara lelaki dan hamba yang dimiliki) Jika lelaki mengaku bersetubuh dengan emaknya, anak itu digabung (dibin dan dinasabkan) dengannya kecuali jika dia mendakwa istibra wanita itu selepas bersetubuh dengannya dan kemudian dia tidak mendekatinya. Maksud istibra ialah tidak bersetubuh dengan isteri selepas datang haid.

Pandangan yang serupa diungkap oleh Ibn Qudamah di mana beliau menulis dalam kitab al-Mughni (al-Mughni, juz 6, muka surat 228) dengan berkata, anak zina tidak boleh digabung kepada penzina menurut pandangan kebanyakan ulama. Tetapi Hasan, Ibn Sirin menganggap boleh digabung kepada penzina jika didirikan ke atasnya hukuman hudud dan anaknya itu boleh mewarisinya pula.

Ibrahim pula berkata digabungkan anak zina dengan penzina jika dia dikenakan hukuman sebat. Ishak juga berkata digabung anak zina dengan penzina. Begitu juga diriwayat daripada `Urwah dan Sulaiman bin Yasar.

Ibn Rusyd dalam kitab Bidayah al-Mujtahid, juz 2, muka surat 268 pula menulis kebanyakan ulama bersepakat bahawa anak zina tidak digabung dengan bapanya kecuali yang berlaku pada zaman jahiliah seperti diriwayat daripada Umar bin Al-Khattab, tetapi para sahabat yang berbeza pandangan tentang perkara itu. Manakala segelintir menganggap anak zina digabung dengan bapanya juga pada zaman Islam.

Ulama dalam mazhab Hanafi juga menganggap jika tidak orang lain mendakwa anak itu anaknya, maka dia adalah milik pendakwa itu. Tetapi jika ada orang lain mendakwa seperti pendakwa pertama, maka pemilik katil diberi keutamaannya (at-Turuq al-Hukmiah, muka surat 324)

Fatwa Ibn Taimiyyah yang dirujuk oleh Dr. Al-Qaradawi terdapat dalam Kutub Wa Rasa-il Wa Fatawa Ibn Taimiah, juz 32, muka surat 137-139. Rujukan-rujukan tambahan lain boleh dilihat dalam kata-kata Imam asy-SyafiI dalam al-Umm, juz 6. muka surat 254, huraian panjang lebar dalam Fathul Bari, juz 12 muka surat 35-37 dan beberapa hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayat oleh Al-Bukhari, hadis no. 1912, 2348, 2040, 3964, 6252 dan 6646, an-Nasaa'i hadis no. 3433, Muwatta' Imam Malik hadis no. 1224 dan ad-Darimi hadis no. 2139.

Fatwa Dr. Al-Qaradawi di atas boleh didapati di Islamonline.net di alamat: http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=76246)

Rencana ini salah satu daripada enam rencana mengenai status anak zina dalam fokus yang disiar dalam majalah Al Islam keluaran Jun yang akan berada dalam pasaran pada 16 Mei ini.

0 comments: